Ahad, 28 Jun 2009

PIBG SK BKT BERUNTUNG ANJUR MAKAN MALAM AMAL 1 OGOS 2009

BUKIT BERUNTUNG - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung (SKBB) akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal yang dinamakan ‘Malam Warisan Kasih’ pada 1 Ogos nanti. Yang Dipertuanya, Yaziz Yunus berkata, program bertujuan mengumpul dana bagi membina bumbung di tapak perhimpunan terbuka sekolah itu pada akhir tahun ini. Menurutnya, pelaksanaan program itu dilakukan secara jualan meja dan kerusi kepada orang ramai khususnya ibu bapa murid sekolah itu. “Setiap meja dijual RM700 kepada penderma. Ini bermakna setiap satu kerusi berharga RM70 yang mula dijual sejak semalam kepada ibu bapa dan guru. “Kami mensasarkan kutipan RM40,000 untuk program amal pertama tahun ini bagi mengumpul dana membina bumbung di tapak perhimpunan, “ katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Terbuka Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung semalam. Yaziz berkata, selain itu, ibu bapa dan syarikat swasta lain juga boleh menyumbang bagi menjayakan majlis amal itu dengan menaja slot pengiklanan dalam buku program. Menurut beliau, jumlah bayaran mengikut saiz iklan dalam halaman buku program bermula RM250. “Persatuan ini akan mengadakan beberapa program lain termasuklah Kejohanan Golf Amal pada September ini yang mensasarkan kutipan melebihi RM30,000 bagi menampung kos pembinaan bumbung yang mencecah lebih RM100,000. “Saya merayu kepada ibu bapa, badan korporat dan swasta menghulurkan bantuan bagi menjayakan program ini demi kemudahan murid sekolah yang sentiasa berpanas ketika berkumpul di dataran perhimpunan,” katanya. Sebarang pertanyaan dan kemusykilan boleh menghubungi Daud Alwi menerusi talian 012-6638975.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya ingin mengucapkan terima-kasih kepada Buletin Rakyat DUN Batang Kali kerana berusaha untuk mewar-warkan program Majlis Malam Warisan Kasih SKBB.

Marilah kita bersama-sama membantu wang ringgit dan tenaga bagi menjayakan projek ini demi keselesaan anak-anak kita yang belajar di SKBB. Sudah terlalu lama guru2 dan murid2 SKBB terpaksa mengadakan majlis mahupun perhimpunan dalam panas terik dan hujan gerimis.

Semoga Allah memberkati segala usaha dan bantuan Tuan/Puan.

Haji Yaziz Yunus
YDP, PIBG SKBB 2009/10