Khamis, 4 Jun 2009

MINUM AIR DARI TANAH PERKUBURAN ? SINAR HARIAN 4 JUN KHAMIS

SUNGAI CHOH – “Kami sudah tidak ada pilihan lain, jadi terpaksa minum.” Demikian kata seorang penduduk Kampung Orang Asli Sungai Garing yang terpaksa meminum sumber air diperoleh daripada bukit tanah perkuburan Cina di sini.
Sarimah Abdullah, 35, berkata, sejak 35 tahun tinggal di situ, dia bersama empat anaknya tidak pernah merasa nikmat air bersih. Malah bagi meneruskan kehidupan, mereka sanggup mengambil air daripada bukit di belakang rumah yang merupakan air yang mengalir dari tanah perkuburan Cina di situ. “Terpaksalah. Kalau tidak macam mana nak hidup,” katanya ringkas tanpa sedikitpun rasa geli meminum sumber air daripada bukit berkenaan. Menurutnya, sebelum kawasan penempatan mereka dibangunkan dengan membina perumahan menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), keadaan mereka lebih selesa walaupun terpaksa bergantung kepada air telaga. Bagaimanapun, setelah Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah mewujudkan peruntukan membina penempatan di kawasan itu, keadaan serta-merta berubah. “Kehidupan kami seolah kembali ke zaman darurat yang tiada bekalan air dan api malah terpaksa mencari sumber atau punca air mata air bagi mendapatkan bekalan itu. “Begitu juga dengan bekalan elektrik, sejak dulu lagi kawasan kami sentiasa bergelap dan sehingga kini masih menggunakan lampu pelita dan lilin,” katanya yang jelas mengharap sesuatu daripada pihak berkenaan. Sarimah berkata, keadaan itulah memaksa dia dan anaknya menggunakan ‘air kubur’ sebagai keperluan untuk minum, memasak, mandi dan membasuh setiap hari. Menurutnya, satu lagi sumber air yang diperoleh ialah dari mata air, namun air yang sentiasa kuning dan kadang-kadang berkarat mengehadkan penggunaan air itu. Sarimah sebelum ini sesekali pernah mengambil air daripada rumah rakannya yang terletak jauh dari perkampungan mereka. Dia terpaksa berulang ke rumah rakannya menaiki motosikal, tetapi masalah kewangan akhirnya menghalang dia dari terus berbuat demikian. “Saya ambil dari rumah rakan pun kena bayar, bukan percuma. Nak guna motosikal pun kena isi minyak, jadi keadaan itu menghalang saya untuk mendapatkan air dari sana,” katanya yang hanya memperoleh pendapatan daripada hasil jualan daun pisang atau sesekali dengan jualan buah-buahan apabila tiba musimnya. Sarimah turut sedih dan terkilan kerana Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan wakil rakyat yang diharapkan jarang sekali memantau keadaan mereka malah ada saja alasan yang diberikan sehingga memaksa dia menguruskan sendiri segala urusan berkaitan keperluannya. Sedangkan katanya, dia sering mengajukan permasalahan dihadapi dan Sarimah adalah pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Sementara itu, anak sulung Sarimah, Nur Rosshafila Sahira Abdullah, 14, ketika ditanya perasaannya yang terpaksa melalui kehidupan sedemikian berkata, dia redha dan terpaksa melaluinya dengan sabar. Nur Rosshafila berkata, kadang-kadang dia terpaksa menggunakan pakaian sekolah yang telah digunakan beberapa hari kerana ketiadaan air bersih dan mencukupi untuk membasuh.

Tiada ulasan: