BATANG KALI – Isu peniaga kecil, pembangunan kawasan serta kemudahan infrastruktur antara yang dibangkitkan masyarakat daerah ini pada Dialog Bersama PBT (pihak berkuasa tempatan) di sini, semalam. Dialog dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew dan turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail dan barisan Ahli Majlis MDHS serta jabatan berkaitan.
Seorang peniaga, Mohd Jailani Ariffin, 38, membangkitkan permasalahan yang dihadapi penjaja dan peniaga kecil kawasan ini terutama berkaitan tempat berniaga dan isu saman pihak berkuasa. Menurutnya, peniaga dan penjaja kawasan itu sering berdepan dengan masalah ekoran ketiadaan lokasi khas diberikan untuk melaksanakan usaha itu. “Kami sering menghadapi masalah untuk berniaga kerana tiada tempat khas disediakan dan lebih membebankan apabila pihak berkuasa sering mengenakan tindakan termasuk saman setiap kali mengadakan rondaan. “Kebanyakan kami juga tidak mendapat permit disebabkan faktor itu dan saman yang banyak amat membebankan peniaga yang kebanyakannya Melayu di kawasan ini,” katanya. Beliau mahu PBT menyegerakan permohonan dikemukakan penduduk melalui Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Batang Kali untuk membina tapak khas seperti dicadangkan bagi mengatasi masalah itu. Jailani juga meminta pihak berkuasa tidak mengenakan sebarang tindakan memandangkan peniaga tiada pilihan lain untuk berniaga selagi permohonan itu tidak selesai.
Manakala, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bunga Raya, Ismail Md Nor menyuarakan fungsi Jawatankuasa Penduduk (JKP) yang kurang dimanfaatkan kebanyakan masyarakat. Menurutnya, jika peranan jawatankuasa itu dimanfaatkan sepenuhnya, beliau yakin banyak permasalahan dapat diselesaikan. “Penduduk perlu manfaatkan sepenuhnya fungsi JKP selain sentiasa peka dengan permasalahan dihadapi di kawasan masing-masing. “Sekiranya perkara ini dilaksanakan sepenuhnya, saya yakin tidak berlaku permasalahan di peringkat PBT terutama dalam mengambil tindakan penyelesaian terhadap semua isu,” katanya. Menurutnya, sikap masyarakat sering menyalahkan PBT dianggap tidak wajar kerana kebanyakan masalah ditimbulkan daripada masyarakat sendiri. Justeru, beliau menyifatkan sesi dialog sebagai medan utama menyuarakan segala masalah di kawasan masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan