KUALA KUBU BHARU – Hasrat kerajaan negeri dalam melahirkan dan mengembangkan modal insan menerusi konsep dan modul Spies terus diperluas. Kini pendekatan itu diteruskan melalui kerjasama yang dibentuk di setiap Pusat Khidmat Rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sekitar daerah ini. Spies adalah singkatan kepada lima elemen spiritual, physical, intelektual, emosional dan sosial yang diperkenal Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali. Pengerusi Pusat Khidmat Rakyat DUN Batang Kali, Mohd Nashruddin Abd Aziz berkata, menerusi kerjasama itu mesej dan nilai yang terdapat dalam modul berkenaan akan berjaya dikembangkan sekali gus mencapai matlamatnya. “Ini adalah antara usaha kerajaan negeri dalam melahirkan modal insan terbaik selaras matlamat pembangunan negara. “Kejayaan menjalin kerjasama seumpama ini juga adalah satu kegembiraan yang dapat dikongsi bersama masyarakat setempat khasnya dan rakyat di DUN masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini. Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Hulu Selangor berkata, Spies adalah modul yang sesuai untuk semua peringkat umur tanpa mengira status mahupun anutan agama. Menurutnya, ia mampu diterap dan diamalkan bermula dari kanak-kanak, belia, siswazah sehingga ke penjawat awam. Katanya, modul itu bukan hanya dikhususkan untuk rakyat beragama Islam sahaja malah diperluas kepada semua agama. “Antara keistimewaan Spies ialah modul yang dilaksanakan dibincangkan secara kolektif pihak konsultan dan perunding yang berpengalaman dalam aspek pembangunan insan. “Kesemua elemen yang terdapat dalam modul berkenaan perlu dilaksanakan secara seimbang agar pembangunan masyarakat dapat bergerak seiring dengan matlamat yang ingin dicapai,” katanya. Bagaimanapun menurut beliau, elemen spiritual adalah asas kepada pembentukan peribadi manusia dan elemen itu boleh diterjemahkan sebagai kepentingan menguatkan pendekatan rohani individu agar setiap mereka merasakan sentiasa disayangi dan diperhatikan oleh pencipta. Nashruddin berkata, walaupun konsep itu masih di peringkat percubaan, tetapi usaha ke arah melahirkan masyarakat Selangor cemerlang adalah dipuji. “Melalui maklumat pemantauan Spies merumuskan bahawa konsep ini masih perlu diperbaiki dan mampu dijadikan modul kerajaan negeri untuk dicontohi negeri lain khususnya di bawah Pakatan Rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan