Jumaat, 10 April 2009

SINAR HARIAN 10 APRIL 2009 - JUMAAT...KENAPA KELUAR LAGI BERITA NIE...

KUALA KUBU BHARU – Usaha penjenamaan semula seluruh perpustakaan awam negeri ini dilihat langkah terbaik menarik minat masyarakat ke perpustakaan. Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Mohamad berkata, usaha yang memasuki proses terakhir pelaksanaannya juga diharap memberi impak kepada golongan pembaca. “Umum sedia maklum bahawa perpustakaan awam sekarang masih dengan imej yang kurang menarik. “Oleh itu, pihaknya mengambil inisiatif menampilkan wajah baru perpustakaan supaya bukan sahaja menarik tapi mampu mengajak masyarakat untuk ke perpustakaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Buku Kanak-Kanak Antarabangsa 2009 di Perpustakaan Syed Mahsor di sini, kelmarin. Hadir sama merasmikan majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah PPAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah. Menurutnya, penjenamaan semula itu adalah hasil idea Dr Halimah yang mahu perpustakaan menjadi hub ilmuwan. “Insya Allah, pada Mei ini, PPAS akan melancarkan wajah baru itu yang jelas akan memberi impak kepada masyarakat,” katanya. Mastura berkata, penjenamaan semula itu juga bukan sekadar menekankan aspek imej dan wajah perpustakaan, malah bahan bacaan yang terdapat di dalamnya juga bakal berubah. Mengulas mengenai sambutan Hari Kanak-Kanak Antarabangsa, Mastura berkata, masyarakat umum jarang mengetahui 2 April sebagai hari sambutan itu di seluruh dunia. Di Malaysia katanya, sambutan hari itu mula diadakan pada 2007 hasil inisiatif Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia. “Setiap tahun, tema sambutan akan dipilih dan tema sambutan tahun ini adalah ‘Ayah ibu belikan ku buku’,” katanya. Menurutnya, pemilihan Perpustakaan Syed Mahsor sebagai lokasi pelancaran tahun ini adalah untuk mendekatkan perpustakaan dengan masyarakat luar bandar. “Sambutan tahun ini juga bagi menyemarakkan lagi aktiviti membaca di seluruh Selangor selaras matlamat perpustakaan untuk menanam minat membaca kepada masyarakat dan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Tiada ulasan: