Jumaat, 10 April 2009

Kerajaan negeri komited jejaki tokoh ilmuwan, Program Tuisyen Rakyat untuk Rakyat Selangor



KUALA KUBU BHARU – Kerajaan Negeri melalui Exco Pendidikan sedang berusaha melaksanakan sebuah program yang akan mengajak masyarakat supaya lebih mengenali kalangan tokoh ilmuwan di negeri ini. Pengerusinya, Dr Halimah Ali berkata, Program Jejak Ilmuwan yang kini di peringkat akhir persediaannya bertujuan membentuk kesedaran dan keinginan masyarakat umumnya untuk menyelami sejarah hidup serta keintelektualan tokoh dan ilmuwan itu. “Kerajaan negeri menitikberatkan ilmu dan pendidikan, oleh itu kami akan terus merangka dan melaksanakan segala program ke arah melahirkan generasi bijak pandai dan tokoh ilmuwan ini. “Bagi merealisasikannya, Exco Pendidikan akan memainkan peranan dalam menjejaki ilmuwan di negeri ini seterusnya di bawa menjelajah ke setiap kawasan untuk diperkenal dan diselami keupayaan serta keintelektualan mereka untuk dijadikan ikutan,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Buku Kanak-Kanak Antarabangsa 2009 di Perpustakaan Syed Mahsor di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Mohamad dan Ahli Lembaga Pengarah PPAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah.
Turut sama hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hien Wah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail. Beliau yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PPAS berkata, generasi hari ini kurang didedahkan dengan bahan bacaan atau program yang menampilkan tokoh, wira atau idola tempatan sebaliknya didedahkan dengan bahan dan unsur asing dari luar terutama Barat. “Justeru, kerajaan negeri memikirkan perlunya satu program dirangka dalam usaha mengetengahkan tokoh dan ilmuwan di negeri ini untuk dijadikan contoh dan idola,” katanya. Beliau berkata, program itu bakal menemui rakyat pada penghujung bulan ini melalui jelajah ke setiap kampung dan taman. Pemimpin tempatan dan ketua-ketua masyarakat juga disaran supaya menghebahkan program itu kepada masyarakat setempat agar pelaksanaannya mencapai matlamat.
Dalam pada itu, Dr Halimah turut menyentuh mengenai program Tuisyen Rakyat yang digerakkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu pelajar daripada golongan berpendapatan kurang RM1,500 mengikuti kelas intensif itu. Menurutnya, program menelan belanja RM3.45 juta itu mengutamakan calon yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Program itu juga katanya, meletakkan ADUN sebagai bapa atau guru angkat kepada pelajar yang tersenarai mengikutinya dan akan memantau segala perkembangan pelajar terbabit.

Tiada ulasan: