Jumaat, 17 April 2009

KERAJAAN NEGERI BIDAS KENYATAAN DATO’ NOH OMAR

Sejak 8hb Mac 2008, kerajaan baru yang diterajui Pakatan Rakyat telah dipilih oleh rakyat di lima buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Maka, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah dilantik mengikut peruntukan undang-undang untuk memantapkan pentadbiran Kerajaan Negeri di segala lapisan.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Pusat yang masih dikuasai Barisan Nasional enggan menerima hakikat bahawa rakyat di kelima-lima buah negeri ini telah menolak mereka dan dengan tidak sahnya mewujudkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang kononnya dapat menyalurkan bantuan Kerajaan Pusat secara terus kepada Rakyat.
Pernyataan yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar semalam bahawa kementeriannya tidak akan melayan pengesahan sesuatu permohonan bantuan yang dikeluarkan oleh JKKK di empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat bukan sahaja berbaur politik malah telah melanggari undang-undang. Justeru itu, EXCO Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Yang Berhormat Tuan Ean Yong Hian Wah menyeru supaya Menteri Pertanian tersebut menghormati undang-undang serta menjunjungi hasrat rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat di negeri-negeri tersebut dan MESTI mengiktiraf dan menerima pengesahan JKKK yang dilantik secara sah.
Dakwaan bahawa pengesahan bantuan tersebut perlu dibuat JKKKP yang tidak sah adalah untuk mengelak daripada dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu, Yang Berhormat Tuan Ean Yong Hian Wah menegaskan bahawa bantuan daripada Kerajaan sama ada Pusat atau Negeri, adalah daripada wang Rakyat, maka, percubaan untuk mengetepikan kuasa JKKK yang sah di undang-undang adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan jelas ingin mempergunakan wang rakyat untuk meraih sokongan politik daripada golongan petani. Kerajaan Negeri Selangor mengecam sekeras-kerasnya motif Barisan Nasional tersebut dan menasihatkan Kerajaan Pusat supaya mengembalikan hak rakyat untuk mendapatkan bantuan melalui saluran yang sah.
Bagi semua bantuan yang telah dirancang dan diperuntukkan Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Pakatan Rakyat akan memastikannya menepati sasaran dengan semua lapisan pimpinan kerajaan tidak kira ianya daripada agensi pusat mahupun negeri dan lebig penting lagi ialah bagi mana-mana golongan yang perlukan bantuan, Kerajaan Negeri akan cuba untuk menyalurkan bantuan tanpa mengira latar belakang politik, kaum, agama mahupun status mereka.

YB Tuan Ean Yong Hian Wah,
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor

Tiada ulasan: