Jumaat, 17 April 2009

BANJIR BESAR MELANDA KERLING ...

KERLING – Hujan lebat luar biasa yang melanda kawasan ini awal pagi kelmarin mengakibatkan banjir besar sehingga menenggelamkan hampir keseluruhan perkampungan di sini. Antara kawasan terlibat termasuklah Kampung Jawa, Kampung Pasir, Ladang Jernih dan perkampungan Orang Asli. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, sebanyak 100 buah penempatan ditenggelami air dan melibatkan kira-kira 400 penduduk. “Pihak kami mula menerima laporan mengenai keadaan itu jam 6.30 pagi dan pada waktu itu air sudah mula naik dan menenggelamkan beberapa kawasan. “Setengah jam kemudian keadaan menjadi lebih buruk sehingga menenggelamkan keseluruhan Kampung Jawa dan kampung berhampiran,” katanya. Menurutnya, keseluruhan kawasan terjejas teruk sehingga memutuskan laluan perhubungan darat dan keadaan itu sedikit menyukarkan operasi menyelamat dilakukan. “Kami terpaksa menggunakan khidmat Unit Udara Polis Sungai Besi bagi membantu usaha menyelamat terutama di kawasan penempatan Orang Asli memandangkan kawasan mereka paling sukar ditembusi. “Selain itu, bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu turut diberikan dengan menghantar dua bot penyelamat,” katanya. Beliau berkata, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan ditempatkan di penempatan sementara yang disediakan. Bagaimanapun katanya, keadaan mula kembali surut beberapa jam kemudian dan jaminan keselamatan yang diberikan mengizinkan penduduk terjejas untuk kembali semula ke penempatan masing-masing. Menurutnya, sehingga lewat petang kelmarin tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku kecuali kerosakan pada harta benda dan kehilangan sebuah motosikal dipercayai dihanyutkan arus deras. “Kita juga terus membuat pemantauan sehingga lewat malam kelmarin sehingga semua keadaan kembali normal. “Setakat hari ini segala keperluan bantuan telah disediakan oleh unit bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya.

Tiada ulasan: