Ahad, 8 Mac 2009

Sambutan 1 tahun dijamin tiada kontroversi



SHAH ALAM - Sambutan satu tahun kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dijamin bersih dan tidak dikontroversikan dengan isu-isu berkaitan salah guna kuasa dan penyelewengan. Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (gambar) berkata, perkembangan semasa perancangan sambutan tersebut berjalan lancar berdasarkan komitmen setiap ahli jawatankuasa kecil majlis sambutan tersebut. “Insya-Allah, sambutan kali ini lancar dan bersih tanpa sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan imej kerajaan negeri seperti yang berlaku pada sambutan 100 hari sebelum ini.
Kali ini tidak berlaku sub jawatankuasa kecil kerana segala perkembangan dan perancangan sambutan akan dilaporkan terus kepada saya oleh ahli jawatankuasa kecil terdiri dari wakil pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan kakitangan ibu pejabat kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat sambutan tersebut di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), semalam. Sambutan tersebut yang dijadualkan berlangsung selama dua minggu itu dilancarkan secara rasmi pada 8 Mac ini oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Kompleks Belia dan Kebudayaan. Seksyen 7 di sini.
Sambutan juga dimeriahkan dengan konvoi pemimpin kerajaan negeri yang akan singgah ke setiap daerah untuk menjayakan program Mini Karnival Rakyat bermula 14 Mac sebelum berakhir dengan acara kemuncak di Stadium Malawati, 21 Mac ini. Menurut Dr Hasan, pelbagai pendekatan telah diambil bagi memastikan tidak berlaku sebarang kelemahan dalam penganjuran selain memastikan sambutan mengikut perancangan asal. “Kita akan cuba elakkan sebarang kepincangan dan sekiranya ada, awal-awal lagi kita selesaikan dan bersihkan, semua perkembangan akan dimaklumkan terus kepada saya,” katanya.

Tiada ulasan: