Jumaat, 6 Mac 2009

Kerajaan akan roboh papan tanda Qardiani


SHAH ALAM - Kerajaan negeri telah memutuskan untuk merobohkan papan tanda milik kumpulan ajaran Qardiani di Kampung Nakhoda, Selayang dan menaikkan papan tanda baru yang mewartakan ajaran tersebut telah terkeluar dari ajaran Islam. Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Insfras-truktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali berkata, tindakan tersebut terpaksa dilakukan segera ekoran masyarakat di negeri ini keliru dengan ajaran tersebut yang mempunyai banyak persamaan denganIslam. “Ajaran Qardiani telah difatwakan terkeluar dari ajaran Islam sejak tahun 1975 dan mereka yang mengamalkan ajaran tersebut, jatuh hukum sebagai kafir. “Fahaman dan gaya ibadat mereka menyerupai Is-lam dan ini boleh mengelirukan anak-anak muda kerana ada di antara mereka yang berkahwin dengan pengikut Qardiani dan ada juga pergi ke ‘masjid’ mereka untuk beribadat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini, kelmarin.
Dr Hasan yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, pengikut Qardiani masih lagi aktif menjalankan ajaran tersebut dan ‘berkubu’ di Kampung Nakhoda, Selayang dan Jeram, Kuala Selangor. “Kita khuatir penduduk berdekatan akan terpengaruh dengan ajaran tersebut dan kita akan bertindak dengan segera yang mungkin,” katanya. Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah telah meneliti tapak ‘masjid’ pengikut ajaran tersebut dibina dan mendapati tapak tersebut adalah kawasan kediaman. “Setelah perkara ini disahkan, kita akan mengambil tindakan ke atas mereka kerana telah melanggar undang-undang,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Sela-ngor (Jais), Datuk Mohamed Khusrin Munawi ketika dihubungi berkata, pihaknya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah Daerah Gombak kini dalam proses untuk tindakan selanjutnya. “Selagi mereka (pengikut ajaran Qardiani) mempunyai premis dan tanah, ia akan menyukarkan kita untuk bertindak. Oleh itu, selain dari merobohkan papan tanda, kita juga akan merampas tanah dan merobohkan premis yang dijadikan markas mereka.
“Kita telah mengadakan mesyuarat dengan pejabat tanah serta MPS bagi menyelesaikan isu ini dan akan bertindak dalam masa terdekat,” katanya. Menurut beliau, rampasan tanah pernah dibuat di Sepang, Kuala Langat dan Klang tetapi mendapat ban-tahan dari pemiliknya yang juga merupakan pengikut ajaran sesat. Katanya, JAIS juga telah meminta MPS dan pejabat tanah mengeluarkan notis amaran penguatkuasaan berhubung salah guna premis dan tanah yang sepatutnya dijadikan rumah kediaman.

Tiada ulasan: