Selasa, 3 Mac 2009

JARANG BERSENAM, AMBIK BERAT KESIHATAN ..



KECENDERUNGAN masyarakat yang jarang bersenam di samping kurang mengambil berat soal obesiti menimbulkan kegelisahan banyak pihak. Pada masa sama, kelompok itu masih belum sedar pentingnya penjagaan kesihatan terutama menerusi senaman aerobik.Ini mendorong tiga wanita bergabung tenaga menubuhkan pusat penjagaan kesihatan, Fitness Zone di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat umum.Selain Nurmaslian Abd Kuddus, 30, dua lagi rakan kongsinya adalah Junaidah Arshad dan Marziani Mohd Zain yang mengharapkan wanita bukan hanya berpaksikan kecantikan semata-mata. Lebih penting kesedaran tinggi bahawa kecantikan dan kesihatan perlukan penyatuan dalam memastikan ia dimanfaatkan golongan wanita.
Bagi Nurmaslian, memiliki 121 ahli berdaftar untuk kelas aerobik dan gimnasium yang diadakan sudah cukup membanggakannya dan rakan. Namun, bukan kuantiti yang dipentingkan sebaliknya, melonjakkan senaman bermutu untuk penjagaan tubuh badan lebih sempurna yang menjadi perjuangan mereka bertiga."Senaman aerobik dapat meningkatkan tahap metabolisme tubuh seseorang selain membakar lemak dalam badan serta menguatkan jantung."Kalau cantik pada zahir saja tetapi dalaman tidak begitu dititikberatkan, ia boleh memudaratkan untuk jangka panjang. Lebih penting, ia membantu lebih ramai wanita mengenai kepentingan penjagaan diri menerusi kehadiran kelas secara berkala atau mengikut jadual ditetapkan tenaga pengajar berpengalaman," katanya.
Sejak diperkenalkan pada Julai 2008, Fitness Zone menjadi antara pusat aerobik dan gimnasium yang semakin dikenali di kalangan penduduk sekitar bahkan mampu menarik peserta dari luar Lembah Klang.Menurutnya, kemudahan peralatan disediakan di gimnasiumnya itu dimanfaatkan remaja, pelajar institusi pengajian tinggi, wanita berkerjaya bahkan suri rumah."Menyedari masyarakat kini bersikap semakin terbuka, program realiti televisyen yang berkaitan tarian dan pelbagai senaman menjadi dorongan kepada wanita untuk membantu diri sendiri ke arah memiliki kesihatan sempurna."Untuk itu, selain tarian aerobik kami turut menyediakan pelbagai bentuk tarian lain seperti alternative groove, tarian MTV, tarian line serta salsa fiesta."Kelas tarian kami mengkhususkan penggunaan step board yang membantu membakar kalori dengan lebih cepat di samping menghilangkan tekanan.
Lebih penting, ia diajar golongan profesional," katanya.Mengadakan kelas aerobik dan gimnasium dibuka tujuh hari seminggu membuatkan dia serta rakan bekerja keras mencapai apa yang dicita-citakan.Rutin hariannya yang sentiasa sibuk tidak pernah membuatkannya alpa mengenai arah kerjaya sebenarnya di sebuah syarikat swasta terkemuka."Sebenarnya, perniagaan ini adalah sandaran masa depan saya dan rakan. Ia pula dilakukan demi mengisi masa senggang terutama selepas pulang dari kerja manakala tumpuan pada kelas aerobik pula pada hari cuti dan hari minggu."Ia langsung tidak mengganggu kerjaya sebenar saya. Semua ini dilakukan demi merealisasikan hobi selain hasrat untuk mendidik wanita mengenai kepentingan penjagaan badan menerusi senaman," katanya.
Suaminya, Ahmad Azrin Yusoff, 31, banyak meniup rangsangan untuk berjaya menggapai apa yang diimpikan terutama bergelar usahawan berdaya saing suatu hari nanti."Ketika usia muda, saya perlu bekerja kuat kerana untuk meraih kesenangan hidup memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Untuk itu, saya manfaatkan setiap masa terluang demi mencapai matlamat bergelar usahawan tersohor kelak.
"Sehingga kini, suami banyak membantu dan menasihati saya dalam kerjaya bahkan rumah tangga. Di saat saya sibuk dengan tugas, dia turut memberi tumpuan dalam soal penjagaan anak.
Tapi itu tidak bermakna saya mengabaikan rumah tangga."Saya terbiasa dengan kesempurnaan pengurusan kerja dan masa, ternyata semua itu memberi pengalaman hebat kepada saya dalam memacu kerjaya dan rumah tangga serentak," katanya.

Tiada ulasan: