Selasa, 24 Februari 2009

Selangor diminta segera muktamadkan perjanjian air

KUALA LUMPUR 22 Feb. — Forum Air Malaysia (FAM) dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini meminta kerajaan Selangor dan pemegang konsesi air swasta yang berkenaan supaya segera memuktamadkan rundingan mereka demi kepentingan pengguna.
Kerajaan Selangor, yang merupakan pemegang saham minoriti dalam konsesi itu, belum dapat menyelesaikan beberapa perkara berhubung rancangannya untuk membeli kepentingan rakan kongsinya bagi menyusun semula sistem penyampaian dan merawat air di kawasan tertentu .
“Kelewatan ini akan memberi kesan besar terhadap tarif air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” kata pertubuhan itu dalam kenyataan bersama kepada Bernama.
FAM bertindak sebagai penasihat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Kebangsaan (SPAN) mengenai isu berkaitan pengguna, manakala FOMCA memperjuang kepentingan seluruh masyarakat pengguna dalam semua isu.
Kenyataan yang ditandatangani bersama oleh setiausaha agung FAM Piarapakaran Subramaniam dan setiausaha agung FOMCA Muhammad Shaani Abdullah itu menyatakan bahawa sekiranya rundingan berkenaan tidak dimuktamadkan menjelang 31 Mac ini seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan, maka tarik air di tiga kawasan berkenaan akan dinaikkan sebanyak 37 peratus.
Memandangkan rundingan itu tidak menampakkan tanda-tanda akan mencapai kesudahannya, SPAN membayangkan rancangannya untuk mengadakan rundingan secara terus dengan pemegang konsesi terbabit bagi mempercepat urusan berkenaan.
Rancangan ini bagaimanapun dibantah keras oleh kerajaan Selangor.
— BERNAMA

Tiada ulasan: