Ahad, 15 Februari 2009

Program Pembangunan Sukan Diperluaskan ke Daerah

Thursday, 12 February 2009
KUALA LANGAT, 12 Februari – Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sedang merangka program pembangunan sukan secara menyeluruh sehingga ke peringkat daerah.
Menurut Timbalan Pengerusi MSN Selangor, Amirudin Shari, langkah itu bertujuan untuk memastikan Selangor tidak ketandusan atlit yang berkualiti dan berbakat pada masa hadapan sekaligus menaikkan martabat sukan negeri Selangor.
Katanya, perubahan struktur majlis sukan yang baru diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan MSN Selangor adalah sebagai langkah permulaan yang mana ia melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai peneraju pembangunan prestasi tinggi di daerah-daerah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-13, 2010 di Hotel Impiana, Banting malam tadi.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohd Zubir Idrus.
Dalam ucapannya, Amiruddin turut mengingatkan persatuan-persatuan sukan negeri dan daerah supaya aktif dan bekerjasama dengan MSN, agar program pembangunan sukan di negeri ini dapat dipertingkatkan dalam melahirkan atlit-atlit remaja yang berkualiti di negeri ini.
“Kegagalan Selangor mengekalkan kejuaraan pada SUKMA 2008 di Terengganu tahun lalu menjadi pembuka mata dan menyedarkan kita bahawa betapa kita perlu terus melipat gandakan usaha dan memikir lebih ke hadapan dalam mengembalikan kecemerlangan sukan negeri Selangor,” katanya yang berharap seminar tersebut dapat menjadi pendorong dalam membina semula keyakinan dalam misi menghadapi SUKMA 2010.
Sementara itu, seminar dua hari ini merupakan langkah persediaan MSN Selangor dan persatuan sukan negeri menghadapi SUKMA ke-13 di Melaka pada tahun hadapan.
Seramai 64 peserta yang terdiri daripada pegawai MSN, setiausaha dan Jawatankuasa Pembangunan Persatuan negeri Selangor hadir.
@MURIZA ABDUL HAMID

Tiada ulasan: