Ahad, 15 Februari 2009

Laporan Akhir Task Force Kemuka Cadangan Tambahbaik Pentadbiran Tanah

Thursday, 12 February 2009
SHAH ALAM, 12 Februari - Laporan akhir Kajian Terhadap Pengurusan dan Pentadbiran Tanah Negeri Selangor yang disediakan Task Force Tanah Selangor dibentangkan hari ini kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Selangor.
Task Force yang dipengerusikan bersama oleh Dato’ Dr Tan Tee Kwong dan Dato’ Dr Nik Mohd Zain memulakan kajiannya pada Julai tahun lalu, sebelum menyerahkan laporan akhir kepada Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Oktober lalu.
“Hari ini Dato’ Menteri Besar memanggil semua pentadbir-pentadbir tanah, pegawai-pegawai daerah, jabatan-jabatan teknikal yang berkaitan dengan tanah, untuk membincang laporan yang telah dikemukakan oleh Task Force Tanah ini,” kata Dato’ Dr Nik ketika ditemui selepas sesi pembentangan laporan berkenaan.
Menurut beliau, terdapat enam bahagian dalam laporan berkenaan iaitu dasar-dasar tanah negeri, hal-hal pelupusan tanah, urusniaga tanah dan pengambilan tanah, unit menambahbaik kutipan cukai tanah, unit perundangan tanah, unit pembangunan tanah dan unit teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Katanya laporan akhir yang siap dalam tempoh tiga bulan itu mengemukakan pelbagai masalah yang ditemui di pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata antara masalah berkenaan ialah kelewatan pengeluaran hak milik strata, kelewatan kelulusan tukar syarat dan tunggakan kerja.
Sehubungan itu katanya, Task Force Tanah mencadangkan beberapa pendekatan bagi menyelesaikan masalah dan meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kita juga telah mencadangkan supaya pejabat tanah dan pejabat daerah dipisahkan untuk memberi kuasa sepenuhnya kepada pentadbir tanah untuk mengendalikan pentadbiran tanah.
“Manakala pegawai daerah tidak lagi terlibat dengan pentadbiran tanah tetapi memfokuskan tugas-tugas beliau dalam hal-hal mengenai pembangunan daerah dari aspek-aspek pembangunan komersial, pertanian, industri dan lain-lain,” katanya.
Tambahnya, pejabat tanah juga dicadangkan mempercepatkan proses-proses tertentu termasuklah dari segi pengeluaran hak milik strata dan kelulusan tukar syarat tanah, pecah sempadan dan sebagainya.
Di samping itu, Task Force turut mencadangkan urusan hak milik pendaftar dipindahkan daripada Pejabat Tanah Galian (PTG) kepada pejabat-pejabat tanah bagi membolehkan PTG memberi tumpuan kepada tugas penguatkuasaan pindaan undang-undang, pengurusan audit dan hal-hal perancangan pemberi milikan tanah.
“Cadangan-cadangan dalam laporan akhir ini akan dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dibincang dengan lebih lanjut lagi sebelum diputuskan,” katanya.
Dr Nik juga berpuas hati dengan program hari ini yang mendapat respon yang baik daripada peserta yang terdiri daripada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Adun, Ahli Parlimen, pegawai di pejabat tanah dan jabatan teknikal.
Pada majlis itu, Tan Sri Abdul Khalid hadir merasmikan program yang berlangsung di Dewan Annex, Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) dekat sini. - NOOR ALLIA KASSIM

Tiada ulasan: