Rabu, 4 Februari 2009

Krisis gula: FOMCA salahkan KPDNHEP

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) membidas tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan harga gula akan dinaikkan selepas sambutan Tahun Baru Cina sehingga menimbulkan pembelian panik dan kekurangan bekalan di beberapa negeri sejak minggu lalu.
Setiausaha Agung FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah berkata, akibat daripada pengumuman itu, sesetengah pihak seperti pengedar telah mengambil kesempatan untuk tidak membekalkan gula yang mencukupi kepada para peniaga.
Beliau berkata, pihak penguat kuasa kementerian itu sepatutnya membuat siasatan dan memantau kekurangan gula yang dilaporkan media massa sejak minggu lalu.
“Saya pasti bekalan gula mencukupi kerana minggu lalu saya berada di Mentakab dan mendapati tiada masalah bekalan gula di kedai dan pasar raya di sana.
“Mentakab yang hanya 80 kilometer (km) dari Maran dan lingkungan 60 hingga 65km ke Jengka dan Jerantut sepatutnya tidak menghadapi masalah pembekalan gula,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) bahawa bekalan gula di Jerantut menjadi kritikal selepas kerajaan mengumumkan kemungkinan berlaku kenaikan harga bahan itu selepas Tahun Baru Cina lalu.
Beliau seterusnya menyatakan kesal terhadap sikap penguat kuasa kementerian itu yang kurang melakukan siasatan susulan dan memantau masalah kekurangan bekalan gula di beberapa tempat walaupun telah disiarkan dalam media massa minggu lepas.
Dalam pada itu, Shaani berkata, kerajaan sepatutnya membuat keputusan tidak menaikkan harga gula dan barang-barang keperluan lain sebaliknya memasukkannya ke dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Negara.
Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Noor Nirwandy Mat Noordin pula berpendapat, pengguna tidak seharusnya mudah terpedaya dan panik dengan kenyataan harga gula akan dinaikkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, tindakan itu hanya memberi peluang kepada pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa monopoli terhadap pengeluaran gula untuk mendesak kerajaan menaikkan harga bahan tersebut.
“Kita harap diwujudkan rangkaian syarikat pengedaran dan pemborong gula dengan syarikat milik kerajaan supaya masalah pembekalan tidak dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu demi meraih keuntungan,’’ katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, para penduduk di sekitar Shah Alam dan Lembah Klang bukan sahaja menghadapi kekurangan bekalan gula bahkan barang-barang keperluan lain turut terjejas sejak seminggu lalu.
Kekurangan bekalan barangan ini katanya, ada kaitan dengan masalah logistik yang mana ramai pemandu lori dan trak berat mengambil cuti sempena menyambut Tahun Baru Cina baru-baru ini.
Katanya, cuti panjang musim perayaan sedikit sebanyak menjejaskan perjalanan bekalan barangan keperluan ke lokasi yang jauh dari pusat bandar.
“Saya harap kes kekurangan bekalan gula di Jerantut itu hanya masalah terpinggir dan tidak perlu dijadikan sebagai masalah negara,’’ tegasnya.
Tegasnya, setiap masalah pembekalan barangan keperluan perlu dikaji daripada pelbagai aspek sebelum meminta kerajaan membuat siasatan rapi.

Tiada ulasan: