Isnin, 2 Februari 2009

Dua pilihan raya kecil- tekanan baru untuk BN


Adun Changkat Jering (kiri), Adun Behrang (kanan)

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Hrkh) - Ketabahan dan semangat jitu Pakatan Rakyat (PR) mampu memenangkan pakatan itu dalam pilihan raya kecil di Behrang dan Changkat Jering, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Mengulas perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi (gambar kanan) dan ADUN Changkat Jering Mohd Osman Mohd Jailu yang sebelum ini dilaporkan hilang tidak dapat dikesan, beliau membangkitkan persoalan adakah Barisan Nasional (BN) akan mengisi calon mereka dengan dua bekas ADUN yang mereka sendiri pernah katakan terlibat dengan rasuah dan adakah kerajaan BN akan menggugurkan tuduhan-tuduhan itu?
"Adakah BN akan mengisi calon mereka dengan dua bekas ADUN yang mereka sendiri pernah katakan terlibat dengan rasuah?
"Jika ya, bagaimana dengan pertuduhan yang dihadapi oleh mereka? Adakah kerajaan BN akan gugurkan?"
Jika kedua-dua ADUN itu bertanding semula, Exco Kerajaan Kelantan yakin PR berada di hadapan dari segi moral dan BN akan akan lebih defensif.
"Moralnya, PR sudah berada di hadapan. BN lebih defensif. Najib lebih terpukul jika benar ini adalah pelan beliau dan BN tewas.
"Sekali lagi, adakah unsur dalaman Umno sendiri sedang cuba mengepung Najib tanpa disedari?" katanya.
Jamaluddin dipilih di Behrang dalam pilihan raya 8 Mac lalu dengan majoriti 1027 undi mengalahkan calon BN dari MIC, Datuk M Ramasamy manakala Mohd Osman dipilih dengan majoriti 1102 undi mengalahkan calon BN dari Umno Datuk Mat Isa Ismail.
Perletakan jawatan mereka, kata Husam, tidak perlu menimbulkan panik bagi penyokong PR.
"Kerajaan Perak pimpinan PR belum tumbang dengan pengosongan tersebut".
Husam melihat pilihan raya kecil di kedua-dua kerusi DUN itu sebagai peluang untuk menjelaskan isu dan propaganda yang dihadapkan ke atas kerajaan Perak.
"Saya yakin, dengan situasi semasa, insya Allah, segala agenda kotor BN boleh dipatahkan".
Pertarungan, katanya, akan berlaku dalam tempoh enam puluh hari, lebih kurang sama tempoh dengan Perhimpunan Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac depan.
"Mungkin tarikh pilihanraya datang lebih awal ketika UMNO sedang sibuk dengan urusan rumahtangganya".
Jika PR memenangi kedua-dua kerusi ini, katanya, tentunya kedudukan kerajaan Perak tidak lagi dapat dipertikaikan oleh Umno dan BN.
"Cubaan menggugat dan menggigit Kerajaan PR pilihan rakyat tidak lagi timbul.
"Segala onar diskriminasi jahat yang berlangsung kini, termasuk pengumuman oleh Zahid Hamidi tentang pegawai Persekutuan tidak boleh 'berhubung' dengan Kerajaan Negeri akan dengan sendirinya terpukul".
Mengulas perbezaan antara penyertaan ADUN Bota Datuk Nasarudin Hashim ke dalam PKR dengan perletakan kedua-dua ADUN itu, Husam berkata Nasarudin bebas bergerak ke sana ke mari tanpa perlu dikurung.
"Ini kerana keputusan itu dibuat atas kerelaan sendiri tanpa paksaan.
"Dua ADUN PKR pula hilang, tak dapaat dihubungi, mungkin diugut, mungkin dipaksa dan di blackmailkan.
"Unsur kerelaan tidak nampak wujud. Ia dengan itu tidak terhormat. Penuh putar belit cara biasa BN."

Tiada ulasan: