Selasa, 10 Februari 2009

2 pilihan raya kecil selepas SPR bermesyuarat..

Berita 1 :: Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal

IPOH - Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada PAS, Roslan Shaharum, meninggal dunia pagi semalam dipercayai kerana serangan jantung, menurut abangnya Ahmad Najmi.Beliau berkata Roslan, yang pada mulanya sedang menunggu keretanya dicuci di sebuah stesen minyak di Batu Gajah, tiba-tiba dilaporkan merasa tidak sihat dan meminjam sebuah basikal milik orang lain untuk ke farmasi berdekatan.Sebaik mengayuh basikal itu beberapa meter, beliau dikatakan terjatuh lalu dibawa ke Hospital Batu Gajah sebelum disahkan meninggal dunia, kata Ahmad Najmi kepada Bernama di sini.Roslan, 50, yang merupakan pengerusi Yayasan Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, meninggalkan seorang isteri Sofiah Husein dan 10 anak yang berusia antara sembilan dan 23 tahun.Lulusan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta sarjana Sains Pembangunan dan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara serta Open University Malaysia.Sementara itu, Sofiah, 50, yang ditemui di Hospital Batu Gajah, berkata jenazah suaminya dijangka dikebumikan pada petang ini di kampung Allahyarham di Changkat Larang, Lahat, dekat Batu Gajah.Pensyarah Institut Perguruan Ipoh itu berkata sebulan lepas, suaminya pernah pengsan semasa berada di Taiwan dan setelah menjalani pemeriksaan, doktor mendapati jantung Allahyarham besar dan kurang oksigen.“Dia patut pergi check-up tetapi arwah pergi ke Gaza, Palestin dan hingga hari ini tak buat apa-apa pemeriksaan kesihatan,” katanya kepada pemberita.Anak perempuan Roslan, Norfatimah Zahra, 21, berkata bapanya keluar rumah untuk mencuci kereta pada 10 pagi ini.Ketika ditemui pemberita di rumah mayat hospital berkenaan, Norfatimah Zahra berkata beliau mendapat maklumat bapanya jatuh pengsan setelah menunggang basikal untuk ke farmasi dan dibawa ke Hospital Batu Gajah sejam kemudian.Norfatimah Zahra berkata pada hujung minggu baru-baru ini, mereka sekeluarga bercuti ke Cameron Highlands selama dua hari dan pulang petang semalam.“Ayah sihat dan mungkin kerana kurang rehat selepas bercuti dan sekembalinya dari Cameron Highlands petang semalam, dia dipanggil untuk menghadiri majlis di kediaman rasmi Menteri Besar Perak,” katanya.- BERNAMA
Berita 2 :: Arumugam umum letak jawatan Exco, ADUN
ALOR SETAR - Di sebalik desas-desus menyertai Barisan Nasional (BN), Exco Kedah, V Arumugam mengosongkan ja­watan tersebut dan Ahli Un­dangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau serta-merta. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak semasa mengumumkan perkara tersebut malam tadi berkata, Arumugam menghantar surat melepaskan jawatan dua jawatan berkenaan kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.Sidang media itu merupakan sidang media kedua dalam tempoh 12 jam semalam.Azizan pada sidang akhbar sebelum itu di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini berkata Arumugam hanya meletakkan jawatan sebagai Exco tetapi mengekalkan kedudukannya sebagai ADUN Bukit Selambau.“Surat peletakan jawatan sebagai Exco dihantar dari Kuala Lumpur ke alamat pejabat Tuanku di Wisma Darul Aman dan sepatutnya diterima hari ini (semalam),” katanya.Azizan berkata beliau dimaklumkan oleh pembantunya pagi semalam bahawa Arumugam menelefon pembantunya itu untuk memaklumkan mengenai keputusan melepaskan jawatan Exco.“Saya cuba menelefon Arumugam selepas itu tetapi beliau gagal dihubungi, malah saya juga tidak diberikan salinan surat itu,” katanya.Beliau berkata Arumugam mengirim surat peletakan jawatan Exco kepada Sultan Kedah kerana baginda yang melantiknya.Azizan berkata Arumugam memberitahu pembantunya alasan beliau melepaskan jawatan Exco adalah kerana masalah peribadi dan bukan berkaitan kerajaan negeri pimpinan Pas.Katanya beliau telah mengadap Tuanku Abdul Halim selepas selesai istiadat pengurniaan bintang dan pingat kebesaran sempena keputeraan baginda yang ke-81 di istana tengah hari semalam.Beliau berkata jawatan Exco yang dikosongkan oleh Arumugam akan diisi oleh ADUN dari PKR kerana kerana ia adalah kuota parti itu. Selain Arumugam, PKR menguasai DUN Lunas, Bakar Arang, Sidam dan Kulim.

Tiada ulasan: