Khamis, 27 September 2018

ANWAR PERLU JADI PM KE 8 - KHAIRY JAMALIDDIN

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia perlu fokus terhadap peralihan generasi dalam politik selepas era kepemimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, negara mempunyai ramai pemimpin muda berbakat dan kemunculan generasi baharu ahli politik akan memberi isyarat kepada perubahan politik di Malaysia.


“Tun Mahathir adalah seorang yang hebat tetapi dia berusia 93 tahun, saya fikir beliau akan berkhidmat selagi kesihatannya mengizinkan. Anwar perlu menjadi perdana menteri selepas itu kerana jika tidak, kita tidak akan ada kesudahan.

“Saya fikir Anwar bakal menjadi perdana menteri tetapi saya fikir kita perlu memberi tumpuan terhadap Malaysia, pasca Tun Mahathir dan pasca Anwar,” katanya pada forum 'Majlis Sepetang bersama Profesor K.S. Jomo dan Khairy Jamaluddin: Hala Tuju Malaysia’ anjuran Persatuan Oxford dan Cambridge Malaysia di sini, malam ini.

Ahli Parliamen Rembau itu berkata, peralihan generasi akan menjadi lebih jelas selepas Anwar menjadi perdana menteri.

Khairy menegaskan bahawa untuk empat tahun akan datang, kedua-dua PH dan BN harus mengetepikan politik remeh dan bekerjasama ke arah melaksanakan perubahan institusi dalam negara.

Dalam perkembangan lain, Khairy mengulangi bahawa beliau tidak akan keluar daripada Umno sambil menambah bahawa beliau bercadang bertanding jawatan presiden pada 2021 jika parti itu masih wujud ketika itu.

Menurutnya, berdasarkan undi popular pada pemilihan jawatan presiden Jun lalu, majoriti anggota Umno bersetuju untuk pembaharuan.

Sementara itu, Prof Jomo berkata, terdapat keperluan bagi kerajaan semasa untuk menangani sistem pembiayaan politik yang merosot di negara ini.

Beliau, yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan, berkata isu tersebut harus menjadi keazaman politik utama kepada kerajaan.

“Adalah penting untuk menyedari bahawa kita mempunyai sistem pembiayaan politik yang amat disalah gunakan sehingga kita tidak boleh keluar melainkan kita membangunkan sebuah sistem pembiayaan politik yang sah, bertanggungjawab dan telus,” katanya. - Bernama





Tiada ulasan: