Selasa, 8 Disember 2015

TS MUHYIDDIN ~ BARAH, NANAH DALAM UMNO MESTI DITOLAK

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin: Barah, nanah dalam Umno mesti ditolak 

Muhyiddin Yassin malam ini tampil melontarkan kritikan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib dan isu-isu berbangkit dalam negara, terutamanya dalam kes 1MDB. Dalam ucapannya di hadapan ramai penyokong di Kampung Baru, Kuala Lumpur, Muhyiddin menegaskan bahawa pihak yang bermasalah dalam Umno harus ditolak. 

“Siapa yang menjadi barah dan nanah dalam Umno mesti ditolak,” katanya sambil disambut sorakan orang ramai yang kelihatan amat bersemangat. “Untuk selamatkan negara, (masalah ini) harus dibuang.” Beliau berkata demikian apabila bercakap soal perubahan yang perlu dibuat oleh Umno supaya tidak ditolak oleh rakyat. “Saya suka merayu untuk jalani pembedahan yang menyakitkan ini daripada menderita koma dan mati perlahan-lahan,” katanya bekas timbalan perdana menteri itu dengan berkias. 

Muhyddin pada peringkat awal ucapannya dilihat agak berhati-hati. Ketika mengulas tentang gesaan ke arah pengunduran Najib, beliau berkata mendapat banyak pesanan di laman sosial yang memintanya menyampaikan perkara itu. Malah, katanya, gesaan itu yang kedua terbanyak diterimanya selepas kebimbangan berkaitan kenaikan kos sara hidup. Muhyiddin juga ada awal ucapannya berkata Najib harus berehat sementara sementara dakwaan-dakwaan berkaitannya, termasuk isu 1MDB, diselesaikan. 

“Rehat sementara. Bukan berhenti. Rehat saja, sementara. Jangan timbul persepsi PM campur tangan. Ambil cuti sampai kes selesai. “Kemudian kalau tidak terlibat, kita doa tidak terlibat, baliklah (bertugas) semula,” katanya. Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal turut hadir dalam acara bertemu penyokong itu di Kuala Lumpur malam ini. 

Perhimpunan itu diadakan setelah Muhyiddin tidak lagi diberi peluang berucap kepada perwakilan dalam perasmian sayap ketika-tiga parti itu seperti kelaziman sebelum ini. 

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN at 12/07/2015 11:42:00 PTG

Tiada ulasan: