Sabtu, 19 Disember 2015

PERPADUAN MELAYU MESTI DILIHAT DALAM SKOP YANG LUAS

Perpaduan Melayu bukan sahaja hanya PAS dengan Umno Mohd Sayuti Omar Cadangan Al Alumni Azhar untuk menubuhkan jawatankuasa sebagai pihak ke-3 untuk membentuk platform penyatuan Umno dengan PAS, bukan perkara sukar dilakukan. Sebelum ini pun berbagai jawatankuasa atau pun entiti, dan individu  berusaha untuk menyatukan kedua parti berkenaan demi kepentingan bersama tetapi gagal. Bahkan ada golongan agamawan termasuk mufti juga pernah berusaha ke arah itu, sehingga ada seorang mufti sanggup berkereta di waktu malam dalam hujan lebat semata-mata untuk melihat wujudnya kerajaan bersama di antara PAS dengan Umno pada tahun 2008, tetapi ia juga gagal. 

Untuk merealisasikan kerjasama yang indah itu, ia bukan boleh diimplimen oleh jawatankuasa atau pun mana-mana pihak dengan menjadi mediator. Orang ke-3 hanya boleh menyata dan melaungkan keindahan natijah penyatuan itu. Titik tolak akhir yang akan menentukan apakah kerjasama itu jadi, wajar atau tidak ialah ahli parti itu sendiri. Ahli yang berhak menyuarakan dan menentukan apakah agenda itu cukup penting atau sebaliknya. Mungkin pemimpin PAS yang sudah "segotel" (sepakat) bersetuju untuk bekerjasama dengan Umno. Tetapi penerimaan ahli masih belum terjawab. 

Perlu diingatkan bilangan ahli berbanding dengan pemimpin jauh lebih ramai. Pemimpin PAS termasuk wakil rakyat tidak sampai 1,000 orang tetapi ahli yang menjadi pengundi dan berhak ke atas parti mereka melebihi 1 juta. Mungkin pemimpin yang kini ada kedudukan atau pernah bersama minum sirap selasih dengan tokoh besar Umno sudah melupai kepedihan apa yang Umno lakukan kepada PAS, tetapi ahli di bawah mungkin masih mengingati dan merasai kepedihannya yang mencucuk hingga ke sum-sum. 

Jika PAS sudah rasa terdesak untuk bersatu dengan Umno, jalan terbaik bagi PAS ialah memanggil muktamar khas menentukan agenda kerjasama ini. Mandat daripada ahli perlu diambil sepenuhnya. Sebagai sebuah parti, sebarang resolusi penting perlulah daripada ahli yang membayar yuran. Keputusan sebesar itu, bekerjasama dengan Umno tidak boleh dilakukan secara ad hoc atau veto presiden. Jawatankuasa yang dicadangkan itu, tidak berkeupayaan untuk merealisasikan kerjasama itu kalau setakat hanya meletakkan para pemimpin PAS dan Umno di atas satu pentas dengan memakaikan baju sedondon. 

Perkara paling penting ahli parti itu kena difahamkan sedalamnya akan tujuan, matlamat dan faedah penyatuan itu. Jauh dari itu juga menggali apakah muslihat Umno dan juga pihak yang beria mahu menjayakannya. Janganlah membuat kerja sia-sia berulang kali. Ingin saya sebut dan ulang lagi, kalau benar mana-mana pihak ingin memadukan Melayu dalam satu wadah dan fahaman demi kepentingan bersama, entiti atau kumpulan politik bukan diambil daripada Umno dan PAS sahaja. Ia juga haruslah ikut sama mengundang kumpulan politik lain, dalam hal ini PKR dan Amanah misalnya. 

Apakah dalam kamus pihak penganjur  PKR dan Amanah bukan parti Melayu dan Islam? Kewujudan ke-2 entiti itu dalam aspek politik tidak boleh dinafikan seperti mana ada orang hendak menafikan hak dan kedudukan orang Cina dan India di negara ini. Mereka suka atau tidak sudah diikhtiras. Saya rasa dalam PKR sudah ada pemimpin tertinggi yang menunjukkan minat untuk bersatu atas semangat kaumiyah itu. Jikalau pihak penganjur mengenepikan puak lain dan hanya menumpukan kepada Umno dan PAS sahaja, percayalah, gagasan kepada perpaduan Melayu dan Islam itu tidak akan tercapai melainkan ianya adalah retorik atau lagu pengulik tidur di malam hari hujan sahaja. 

Perpaduan Melayu harus dicanang dalam skop yang lebih luas dan global dan tidak bersifat sekelompok sahaja. Itulah baru sesuai dengan martabat Alumni Azhar itu sendiri berwajahkan sejagat. Wassalam. 
Posted & copy by RAKYAT MARHAEN at 12/19/2015 07:54:00 PG 

Selasa, 8 Disember 2015

TS MUHYIDDIN ~ BARAH, NANAH DALAM UMNO MESTI DITOLAK

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin: Barah, nanah dalam Umno mesti ditolak 

Muhyiddin Yassin malam ini tampil melontarkan kritikan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib dan isu-isu berbangkit dalam negara, terutamanya dalam kes 1MDB. Dalam ucapannya di hadapan ramai penyokong di Kampung Baru, Kuala Lumpur, Muhyiddin menegaskan bahawa pihak yang bermasalah dalam Umno harus ditolak. 

“Siapa yang menjadi barah dan nanah dalam Umno mesti ditolak,” katanya sambil disambut sorakan orang ramai yang kelihatan amat bersemangat. “Untuk selamatkan negara, (masalah ini) harus dibuang.” Beliau berkata demikian apabila bercakap soal perubahan yang perlu dibuat oleh Umno supaya tidak ditolak oleh rakyat. “Saya suka merayu untuk jalani pembedahan yang menyakitkan ini daripada menderita koma dan mati perlahan-lahan,” katanya bekas timbalan perdana menteri itu dengan berkias. 

Muhyddin pada peringkat awal ucapannya dilihat agak berhati-hati. Ketika mengulas tentang gesaan ke arah pengunduran Najib, beliau berkata mendapat banyak pesanan di laman sosial yang memintanya menyampaikan perkara itu. Malah, katanya, gesaan itu yang kedua terbanyak diterimanya selepas kebimbangan berkaitan kenaikan kos sara hidup. Muhyiddin juga ada awal ucapannya berkata Najib harus berehat sementara sementara dakwaan-dakwaan berkaitannya, termasuk isu 1MDB, diselesaikan. 

“Rehat sementara. Bukan berhenti. Rehat saja, sementara. Jangan timbul persepsi PM campur tangan. Ambil cuti sampai kes selesai. “Kemudian kalau tidak terlibat, kita doa tidak terlibat, baliklah (bertugas) semula,” katanya. Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal turut hadir dalam acara bertemu penyokong itu di Kuala Lumpur malam ini. 

Perhimpunan itu diadakan setelah Muhyiddin tidak lagi diberi peluang berucap kepada perwakilan dalam perasmian sayap ketika-tiga parti itu seperti kelaziman sebelum ini. 

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN at 12/07/2015 11:42:00 PTG