Rabu, 8 April 2015

PENERBANGAN TERAKHIR BERSAMA ARUAH JAMALUDDIN JARJIS

Penerbangan terakhir dengan Jamaluddin Jarjis - Wan Kadri ADUN Bukit Ibam, 

Datuk Wan Kadri Wan Mahussin tidak menjangka persahabatan antara beliau dan allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis berakhir di pintu helikopter. “Saya bersama dengannya 23 tahun, saya kenal dia sudah lama, kami sangat rapat, sahabat saya. “Kali terakhir saya bersama Tan Sri Jamaluddin Jarjis, saya pegang lutut beliau dan salam dengannya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini. Penerbangan dengan pesawat AS3655-N2 Dauphin itu merupakan perjalanannya yang terakhir dengan Jamaluddin (kiri), kata ADUN BN itu dengan nada sayu. Sehari sebelumnya, beliau dengan Jamaluddin menaiki helikopter itu bersama dengan lima orang lagi dari Kuantan. Mereka adalah pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran, usahawan Datuk Tan Huat Seang, juruterbang Kapten Clifford William Fournier dan seorang kenalan juruterbang itu, yang dinamakan sebagai Aidana Baizieva, Katanya, penumpang wanita dan juga juruterbang pesawat itu sudahpun berada dalam helikopter tersebut lebih awal, pada hari Jumaat. Ketika ditanya, Wan Kadri berkata beliau tidak mengenali wanita berkenaan dan hanya sempat menyapa semasa menaiki pesawat. Beliau dan yang lainnya seterusnya melakukan penerbangan ke bandar Rompin, bandar Muadzam Shah dan berpatah balik ke Kuantan. 

Pada hari Sabtu, Wan Kadri berkata, beliau pada mulanya berkereta dengan Jamaluddin dari Kuantan ke Pekan untuk menyertai satu program bersama bekas menteri itu. Mereka berdua seterusnya menghadiri majlis perkahwinan anak perdana menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di bandar diraja itu. Kemudiannya, mereka menaiki helikopter itu semula di Rompin bersama lima penumpang dan juruterbang yang sama untuk perjalanan menuju ke Muadzam Shah. Menurutnya, Jamaluddin berhasrat untuk menziarahi keluarga seorang kenalan yang baru meninggal dunia pada hari itu di Muadzam Shah. Namun, disebabkan keadaan cuaca buruk, helikopter itu tidak dapat meneruskan perjalanan ke Muadzam Shah, katanya. Tambahnya, beliau seterusnya memutuskan untuk turun di Kota Bahagia untuk pulang ke rumahnya.

Pesawat itu kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur, dan itulah kali terakhir beliau melihat rakan lamanya itu. “Selepas itu helikopter itu terhempas,” kata Wan Kadri yang mula mendapat tahu mengetahui mengenai kejadian malang yang menimpa pesawat tersebut apabila dihubungi rakannya selepas itu. Menurutnya, kenalannya itu berkata, helikopter tersebut tidak sampai di Kuala Lumpur. Selepas itu beliau cuba menghubungi Jamaluddin serta penumpang lain namun tidak berjaya. Beliau seterusnya menghubungi pegawai yang bertugas untuk menjemput Jamaluddin di lapangan terbang. Hatinya luluh apabila pegawai tersebut mengesahkan bahawa helikopter berkenaan terhempas. “Saya tak terkata, saya masih terkejut, sampai hari ini, makin lama makin rasa kehilangan sebab saya dengan dia baik sangat. “Saya sedih dan rasa tertekan dengan apa yang terjadi,” katanya dengan nada sayu. Pesan bina pusat tahfiz Menurutnya, Jamaluddin tidak menunjukkan sebarang reaksi aneh sebelum kejadian tersebut. Namun, beliau berkata, pesanan terakhir yang ditinggalkan oleh Jamaluddin dua hari sebelum itu masih terpahat di ingatannya. “Dia biasa sangat, dia berborak, ketawa sepanjang pagi, (kami) pergi tengok rumah mak dia, berjogging dan memang tak menunjukkan apa-apa (perbuatan aneh).

 “Yang saya ingat hanya satu, yang dia (Jamaluddin) sebut pasal (untuk bina) pusat tahfiz, masa itu dia panggil pegawai daerah sekali,” katanya. Menurutnya, Jamaluddin bersungguh-sungguh untuk mengusahakan pembinaan pusat tahfiz tersebut “sementara dia masih ada”. “Tan Sri cakap begitu dua malam sebelum (dia meninggal), selepas majlis tahlil di Masjid Kampung Pianggu, Rompin,” kata Wan Kadri. Jelasnya lagi, Jamaluddin sudah bersedia untuk mewakafkan tanah peribadinya bagi membangunkan sekolah tahfiz berkenaan. 

Tiada ulasan: