Khamis, 30 April 2015

MAHATHIR TURUN PADANG UNTUK JELASKAN KRITIKANNYA

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini akan menemui ahli Umno di peringkat akar umbi bagi menerangkan kritikan beliau terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memandangkan beberapa pihak menganggap tindakannya merosakkan parti.

Dalam entri terbaru di blognya, bekas perdana menteri itu berkata, untuk membuat keputusan atau menghukum secara bijak dan adil, rakyat perlu dengar kedua-dua belah pihak.

"Saya harap saya diberi peluang berjumpa dengan ahli Umno biasa untuk menerang akan masalah kehilangan berbilion ringgit oleh Najib.

"Lepas mendengar kedua-dua pihak, adililah terhadap 'serangan' saya. Apakah saya sedang merosakkan parti atau mencuba menyelamatkannya?" katanya dalam blog popularnya chedet.cc hari ini.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu mutakhir ini dikecam pemimpin dan penyokong Umno kerana terus-terusan secara terbuka mengkritik Najib dan meminta beliau berundur.

Dr Mahathir menerangkan, serangan beliau mungkin tidak menyenangkan Najib dan sebahagian ahli Umno, tetapi niatnya ialah untuk menyelamatkan Umno, "parti keramat yang dahulu disokong sehingga menang dua pertiga majoriti setiap pilihan raya umum (PRU)."

"Hanya mereka yang tidak dapat lihat sahaja yang tidak sedar Umno di bawah Najib gagal memulih Umno selepas Tun Abdullah," katanya merujuk kepada perdana menteri sebelum Najib, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang mengambil alih kepimpinan negara daripada Dr Mahathir.

Abdullah menjadi perdana menteri pada Oktober 2003 dan berundur pada April 2009 susulan prestasi hambar BN dalam PRU 2008.

"Kemenangan Najib lebih tipis," kata Dr Mahathir.

Beliau berterima kasih kepada ahli akar umbi Umno, yang sebahagiannya menasihatkan beliau menghentikan serangan terhadap Najib kerana katanya, beliau berpengalaman dalam bidang politik, terutama yang berkaitan dengan budaya Melayu.

"Kita cenderung untuk setia kepada pemimpin. Kita tidak soal apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin. Dia pemimpin, kita pengikut. Oleh itu, ikut sahajalah. Lebih-lebih lagi apabila kita diberi penerangan olehnya secara tertutup seolah-olah kita dapat berkongsi rahsia dengan pemimpin kita."

Beberapa bulan kebelakangan ini, Dr Mahathir menggesa Najib meletak jawatan, mengaitkannya dengan beberapa isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibebani hutang berbilion ringgit, kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan gaya hidup mewah keluarganya.

Beliau juga meminta Umno menyingkirkan Najib jika tidak mahu tewas pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, Najib baru-baru ini mengumumkan beliau tidak akan menyerah kalah dan menegaskan kerajaannya mengamalkan ketelusan dalam pentadbiran.

"Walau dilintang dengan seribu aral, biarpun kita diasak dan dikritik, sebagai sebuah kerajaan yang telus, saya selaku perdana menteri bersama-sama timbalan perdana menteri, dan didokong pula para menteri serta rakan ahli pentadbiran, tidak akan sesekali berganjak atau menyerah kalah, malah akan tetap istiqamah dan terus berjuang, merintis sejuta lagi jalan baru demi kebaktian kepada rakyat dan negara," katanya ketika membentangkan laporan prestasi Program Transformasi 2014 pada Selasa.

The Malaysian Insider

SELAMAT BERJUANG UTK KAK WAN


Selamat berjuang Wan Azizah Oleh ABD SHUKUR HARUN DARIPADA tinjauan saya ke beberapa lokasi di Permatang Pauh, mendapati simpati dan sokongan terhadap calon PKR/Pakatan Rakyat, Dr. Wan Azizah di Pilihan Raya Kecil di situ adalah tinggi. 
Bahkan ada yang menyatakan terus terang bahawa walaupun DS Wan Azizah yang bertanding di situ, tetapi orang ingat juga DS Anwar Ibrahim. Ertinya ingat Wan Azizah, ingat Anwar. Cuaca di Permatang Pauh kadang-kadang panas, kadang-kadang hujan. Petugas kempen PKR di siang hari mengatur gerak kerja kempen, bermesyuarat, di samping ada kumpulan yang berkempen di pasar, di pusat membeli belah, hentian bas dan teksi dan di mana saja. Wan Azizah dan anaknya Nurul Ezzah juga sama berkempen  secara berasingan. 
Di mana-manapun mereka berkempen, orang ramai yang ditemui terus menyatakan simpati terhadap DS Anwar. Percakapan saya dengan beberapa orang yang sedang meratah kambing bakar di gerai tepi jalan di Seberang Jaya ialah saya bertanyakan bagaimanakan reaksi rakyat terhadap GST. Rata-rata menyatakan kekecewaan yang amat sangat terhadap GST yang mereka lihat ialah harga barangan, pengangkutan dan sebagainya naik. Bukan akan naik, tetapi telah naik. “Kita rakyat miskin terasa benar kesab GST ini, kerana setiap barang perlu yang kita beli semuanya kena GST. Tidak boleh dielak, orang kaya tidak terasa semuanya ini kerana duit mereka berlambak,” kata mereka. 
Bagi  pemimpin PKR, PRU Permatang Pauh peluang terbaik pengundi untuk menolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai isyarat kepada kerajaan agar tidak terus menindas rakyat. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PRK P44 ini yang bakal menyaksikan pertembungan antara Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon BN), Suhaimi Sabudin, bukanlah PRK biasa tetapi memberi peluang rakyat menyuarakan penolakan terhadap penindasan kerajaan BN dengan pengenalan GST. “PRK ini sebenarnya satu referendum terhadap GST dan saya mengesyorkan agar pengundi sebagai menjadi wakil kepada seluruh rakyat Malaysia dengan mengundi Pakatan Rakyat dan menyatakan bahawa rakyat menolak perlaksanaan cukai yang membebankan itu,” katanya dalam suatu kenyataan. Seorang pegawai syarikat swasta yang saya temui di Penanti berkata, pembangunan ada di Permatang Pauh. Ini tidak boleh dinafikam. Kerajaan Pulau Pinang sendiri melaksanakan banyak pembangunan di sini. 
Oleh itu, katanya, tidah benar untuk mengatakan bahawa Permatang Pauh tidak ada pembangunan. Menurutnya, mereka yang menyatakan Permatang Pauh tidak ada pembangunan, itu hanya sentimen politik dan kebencian kepada DS Anwar, bukan berdasarkan realiti yang ada. “Sedangkan kebanyakan pengundi di Permatang Pauh ini, kecuali pengundi Umno/BN, masih ingat jasa Anwar. Oleh itu orang mengingat Amwar, orang mengingati Wan Azizah, rakyat bersimpati terhapanya,” katanya. Petugas PKR/Pakatan Rakyat bersungguh-sungguh berkempen dari siang hingga ke larut malam. 
Di bandar Seberang Jaya juga saya bertemu dengan seorang peniaga gerai buah-buahan. Durani Mat Piah,  di tepi jalan, Kata-katanya sangat menarik: “Wan Azizah, sngat gigih, katanya, sangat tabah menghadapi cabaran. Suami di penjara, dia bertanding di sini. Saya yakin pengundi di sini menyokong Wan Azizah. Dia calon berhati waja, patut kita balas jasanya.” Bagi pengundi Permatang Pauh, mereka merasakan bahawa keluarga Anwar adalah keluarga mereka sendiri. Hal ini kerana Anwar lahir di Cerok Tok Kun dan beliau bersama Wan Azizah serta anak-anak sering saja berada di Permatang Pauh. Lebih-lebih lagi Anwar, walaupun terlalu sibuk, tetapi dia sentiasa mengambil tahu perihal pengundi di Permatang Pauh. Anwar melawat hingga ke pedalaman kawasan ini, kata Jalaludin Mat, pegawai syarikat swasta di sini. “Bohong sama sekali kalau mengatakan Anwar tidak pedulikan kawasan ini. Wan Azizah juga sering berada di Permatang Pauh. 
Waktu dia jadi Ahli Palimen di Permatang Pauh ini, belau sangat mesra dengan rakyat di sini. Semua orang di sini kenal dia,” katanya. Menurutnya, atas saranan Anwar, maka kerajaan Pulau Piang banyak mengadakan projek di kawasan ini. Hanya musuh politik Pakatan Rakyat saja yang menafikan ada pembangunan di Permatang Pauh. Beliau percaya, pengundi di sini masih menyokong PKR. Bagi mereka, menyokong Wan Azizah, bermakna menyokong Anwar. Dari pengamatan saya, PRK Permatang Pauh ini adalah isyarat awal yang penting akan kelangsungan hayat Pakatan Rakyat. Jika PAS dapat menunjukkan keraja yang baik ketika menghadapi PRK ini, maka Pakatan Rakyat akan teguh dan mampu menghadapi cabaran. Tetapi jika dilihat sebaliknya, maka nasib Pakatan Rakyat dalam keadaa tidak menentu. Ini semua terpulang kepada ketiga-tiga parti gabungan. Permatang Pauh adakah cerminan segala-galanya. 
Namun bagi pendukung Pakatan Rakyat yang tulin, perjuangan ini berterusan dan masih jauh, memerlukan perpaduan pendukungnya. Di sinilah saya teringat kata-kata penyair Usman Awang: Di depan duri di belakang api Kita tidak boleh undur lagi. Posted & copy by RAKYAT MARHAEN


Ahad, 12 April 2015

HIMPUNAN DERITA RAKYAT BERJAYA

Jabatan Pilihan raya dan Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Himpunan Derita Rakyat (Hindar) semalam khasnya Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Ahmad Yakob  dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang hadir menambah erti dan nilai pada himpunan rakyat membantah GST.

 Kehadiran orang ramai yang melepasi jangkaan sekitar 4,000 hingga 5,000 orang menjelang solat Maghrib di Padang Merbok telah menepati objektif yang ingin dicapai oleh penganjur bagi menjelaskan kenapa GST dibantah oleh rakyat. Ia juga menjadi signal kepada kerajaan Umno BN bahawa langkah mereka mengenakan cukai GST adalah langkah sumbang yang mengundang derita rakyat. Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Ustaz Dr Datuk Nik Zawawi Salleh, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ustaz Dr Datuk Mahfuz Mohamad, Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Syarhan Abdul Halim Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Bob Lokman, Wakil NGO Ganti Saudara Amzad, Mejar (B) Zaidi, Wakil OKU, Wakil Pemandu Teksi dan Presiden Gamis Saudara Imran antara yang memanaskan pentas pidato Hindar.

Hadir sama ialah Ustaz Mokhtar Senik, Ketua DUPN Pahang yang mengimamkan solat hajat, Ustaz Abdullah Husin, Ketua DUPN Johor, Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah Pengerusi Lajnah Kebajikan DUPP dan Ustaz Asri Daud ad-Diwanie Bendahari DUPP. Hindar turut diserikan dengan persembahan pantomin yang sangat menyentuh perasaan hadirin oleh kumpulan Langat Warrior dan Nasyid Infiru oleh Kumpulan ByHaq. Bob Lokman dan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi tampil menyampaikan sajak bertemakan Derita Rakyat. Keseluruhan majlis berjalan lancar dengan pengerusi umumnya Ustaz Norazli Musa berjaya mengendali Hindar dengan baik dan tertib. Kami sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu jayakan Hindar termasuk pihak PDRM serta DBKL dan pastinya setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Amal dengan kekuatan 250 orang petugasnya sungguh dedikasi menjayakan Hindar.

Tidak ketinggalan Alternatif Riding Club (ARC) dengan 200 buah motor menderu di Padang Merbok. Insya Allah Hindar akan jelajah ke seluruh negara bagi meneruskan usaha menyedarkan masyarakat untuk bangkit membantah serta mendesak kerajaan memansuhkan GST. Posted & copy by RAKYAT MARHAEN 

Sabtu, 11 April 2015

DR MAHATHIR BERBOHONG LAGI

Ahmad Awang meneliti dokumen tentang 
Kassim Ahmad sebelum diserahkan kepada 
The Malaysian Insider. – Gambar The Malaysian Insider, 19 Februari, 2014.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa berbohong apabila berkata para ulama di negara ini gagal melawan Dr Kassim Ahmad dengan hujah, lalu melabelkannya sebagai 'anti-Hadis'.

Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang berkata, ketika kejadian pertama Kassim membawa teorinya pada tahun 1986, beliaulah ketika itu Pengarah Penyelidikan Pusat Islam (kini Jakim) yang berdepan dengan Kassim.

"Atas kapasiti sebagai Yang di-Pertua PUM, kami berdepan dengan Kassim di Masjid Seksyen 16, Petaling Jaya. Beliau meminta kami dengarkan dulu dia bercakap, selepas dia bercakap, masa habis, dan dia pulang ke Pulau Pinang.

"Dia berjanji akan bertemu semula. Namun selepas itu, sampai sekarang dia tidak mahu bertemu kami. Ia berakhir dengan dia sahaja yang bercakap dan kami hanya mampu mendengar dan tidak boleh berhujah balas bagi menjawab dakwaan beliau," cerita Ahmad Awang kepada The Malaysian Insider, mengingati kembali kejadian hampir 30 tahun lalu itu.

Tidak lama selepas pertemuan itu, katanya, Kassim pergi ke akhbar Watan ketika itu (walaupun berjanji tidak ada sebarang laporan media berkaitan majlis itu) dan memaklumkan akhbar tersebut para ulama gagal berhujah dengan beliau.

"Jadi, bukan sahaja Dr Mahathir sahaja yang berbohong dalam hal ini, Kassim Ahmad yang menjadi rakan Mahathir sejak di Universiti Malaya Singapura juga berbohong," kata Ahmad.

Dr Mahathir berkata, Kassim sering dilabel anti-Hadis kerana pihak yang menuduhnya gagal berhujah dengannya mengenai isu agama.

"Dia dilabelkan sebagai anti-Hadis sebab orang tidak boleh jawab apa yang dia katakan. Kita lihat di sini, label digunakan sebagai alat untuk mematahkan pendapat orang lain," katanya selepas Majlis Pelancaran Kursi Keamanan Global Tun Mahathir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kelmarin.

Katanya, sama seperti Kassim, beliau juga sering dilabel dengan pelbagai gelaran selepas hujahnya tidak diterima pihak tertentu.

"Saya juga dilabel sebagai anti-Cina, dituduh rasis dan macam-macam. Jadi walaupun saya berkata benda yang benar, saya tetap dianggap rasis," katanya.

Kassim adalah junior Dr Mahathir di Universiti Malaya Singapura.

Kassim juga pelopor Kelab Sosialis UM Singapura yang banyak mengeluarkan kenyataan menggunakan tulisan warna merah.

Pada 18 September 1986, Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan fatwa bahawa buku tulisan Kassim bertajuk "Hadith: Satu Penilaian Semula" adalah haram.

Fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Sabah itu diterima pakai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Antara lain, fatwa itu menyebut, "Pengarang buku itu termasuk dalam golongan orang yang murtad, sekiranya undang-undang murtad dikuatkuasakan di Negara ini, maka pengarang buku itu wajib dibunuh."

Menurut Ahmad Awang, Kassim didakwa anti-Hadis apabila beliau mencadangkan umat Islam hanya merujuk kepada Al Quran semata-mata dan menolak hadis Rasulullah sebagai sumber hukum dalam Islam.

Ia bermula apabila beliau selaku Pengarah Penyelidikan Pusat Islam menerima lima buah buku tulisan Rashad Khalifa dari Tucson Arizona, Amerika yang ditahan oleh Jabatan Kastam daripada diserahkan kepada Kassim yang sepatutnya menerima buku-buku itu.

Buku-buku itu adalah:

1) Miracle of the Quran: Significance of the Mysterous Alphabets
2) The Computer Speaks: God's Message to the world.
3) Quran: The Final Scripture
4) Quran, Hadith and Islam, dan
5) Authorized English version Translated from the Original.

Selepas dikaji, kata Ahmad, ia bertentangan dengan Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang di Johor Bahru pada tahun 1986 yang mengharamkan buku-buku itu.

Ahmad yakin, walaupun buku itu berjaya disekat, tetapi Kassim menerima juga buku itu melalui cara lain.

"Hampir kesemua teori Kassim Ahmad tentang Hadis datang dari buku-buku ini," kata Ahmad.

Ketika memberikan ucapan dalam seminar pemikiran Kassim Ahmad di Putrajaya pada 15 dan 16 Februari lalu, yang dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana, Kassim berkata, umat Islam sepatutnya menjadikan Al Quran sahaja sebagai sumber rujukannya hukumnnya.

Beliau juga berkata, frasa kedua dalam dua kalimah syahadah mendewakan Nabi Muhammad.

Beliau juga berkata, rambut bukan aurat wanita.

"Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk.

"Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci!" kata Kassim dalam ucapannya itu.

Ekoran itu, pelbagai pihak membantah Kassim, termasuk badan yang selama ini menyokong Umno, seperti Isma. – 19 Februari, 2014.

OLEH ZULKIFLI SULONG

Rabu, 8 April 2015

SIAPA AIDANA BAIZIEVA??

SEMENYIH – Selepas empat hari kejadian nahas helikopter di Kampung Pasir Baru di sini berlaku, semalam pihak polis mengesahkan Aidana Baizieva merupakan kenalan kepada juruterbang Kapten Clifford Fournier.
Aidana, 25, disahkan sebagai gadis berasal dari Kyrgyzstan dan telah memasuki negara ini sejak 2010.
Sejak berada di negara ini, mangsa pernah belajar di Universiti Sunway di Subang Jaya, Universiti Limkokwing di Cyberjaya dan terakhir Kolej SEGi di Kota Damansara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, identiti gadis itu dapat disahkan selepas pihaknya melakukan siasatan termasuk mendapatkan keterangan daripada rakan-rakan mangsa.
Menurut beliau, Aidana tinggal di sebuah apartmen di Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan pemeriksaan di kediaman tersebut menjumpai beberapa barang yang membuktikan identitinya.
“Bukti Aidana dikatakan kenalan rapat Clifford berdasarkan tiket penerbangan atas nama mangsa (Aidana) dan juruterbang itu berlepas ke Langkawi pada 21 Mac lalu ketika berlangsungnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi,” kata beliau pada sidang akhbar di bilik operasi pasukan penyelamat nahas helikopter di sini semalam.
Abdul Samah memberitahu, walaupun polis mengesahkan identiti mangsa menerusi siasatan namun pihaknya terpaksa menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ­mangsa dengan kakak tirinya.
“Jika DNA kakak tiri mangsa gagal dipadankan dengan Ai­dana, kita akan minta bapa gadis itu datang ke sini melakukan DNA,” kata beliau.
Bapa Aidana sudah berusia 75 tahun dan berada di Kyrgyzstan.
Mengulas lanjut, kata Abdul Samah, helikopter AS365N2 Dauphin bukan helikopter pertama mangsa menaiki bersama Clifford.
“Selain itu, maklumat daripada pihak pengurusan kediaman Aidana, dimaklumkan Clifford mempunyai akses untuk memasuki rumah mangsa.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3WgAyy0Vw 
Hakcipta terpelihara 

PENERBANGAN TERAKHIR BERSAMA ARUAH JAMALUDDIN JARJIS

Penerbangan terakhir dengan Jamaluddin Jarjis - Wan Kadri ADUN Bukit Ibam, 

Datuk Wan Kadri Wan Mahussin tidak menjangka persahabatan antara beliau dan allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis berakhir di pintu helikopter. “Saya bersama dengannya 23 tahun, saya kenal dia sudah lama, kami sangat rapat, sahabat saya. “Kali terakhir saya bersama Tan Sri Jamaluddin Jarjis, saya pegang lutut beliau dan salam dengannya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini. Penerbangan dengan pesawat AS3655-N2 Dauphin itu merupakan perjalanannya yang terakhir dengan Jamaluddin (kiri), kata ADUN BN itu dengan nada sayu. Sehari sebelumnya, beliau dengan Jamaluddin menaiki helikopter itu bersama dengan lima orang lagi dari Kuantan. Mereka adalah pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran, usahawan Datuk Tan Huat Seang, juruterbang Kapten Clifford William Fournier dan seorang kenalan juruterbang itu, yang dinamakan sebagai Aidana Baizieva, Katanya, penumpang wanita dan juga juruterbang pesawat itu sudahpun berada dalam helikopter tersebut lebih awal, pada hari Jumaat. Ketika ditanya, Wan Kadri berkata beliau tidak mengenali wanita berkenaan dan hanya sempat menyapa semasa menaiki pesawat. Beliau dan yang lainnya seterusnya melakukan penerbangan ke bandar Rompin, bandar Muadzam Shah dan berpatah balik ke Kuantan. 

Pada hari Sabtu, Wan Kadri berkata, beliau pada mulanya berkereta dengan Jamaluddin dari Kuantan ke Pekan untuk menyertai satu program bersama bekas menteri itu. Mereka berdua seterusnya menghadiri majlis perkahwinan anak perdana menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di bandar diraja itu. Kemudiannya, mereka menaiki helikopter itu semula di Rompin bersama lima penumpang dan juruterbang yang sama untuk perjalanan menuju ke Muadzam Shah. Menurutnya, Jamaluddin berhasrat untuk menziarahi keluarga seorang kenalan yang baru meninggal dunia pada hari itu di Muadzam Shah. Namun, disebabkan keadaan cuaca buruk, helikopter itu tidak dapat meneruskan perjalanan ke Muadzam Shah, katanya. Tambahnya, beliau seterusnya memutuskan untuk turun di Kota Bahagia untuk pulang ke rumahnya.

Pesawat itu kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur, dan itulah kali terakhir beliau melihat rakan lamanya itu. “Selepas itu helikopter itu terhempas,” kata Wan Kadri yang mula mendapat tahu mengetahui mengenai kejadian malang yang menimpa pesawat tersebut apabila dihubungi rakannya selepas itu. Menurutnya, kenalannya itu berkata, helikopter tersebut tidak sampai di Kuala Lumpur. Selepas itu beliau cuba menghubungi Jamaluddin serta penumpang lain namun tidak berjaya. Beliau seterusnya menghubungi pegawai yang bertugas untuk menjemput Jamaluddin di lapangan terbang. Hatinya luluh apabila pegawai tersebut mengesahkan bahawa helikopter berkenaan terhempas. “Saya tak terkata, saya masih terkejut, sampai hari ini, makin lama makin rasa kehilangan sebab saya dengan dia baik sangat. “Saya sedih dan rasa tertekan dengan apa yang terjadi,” katanya dengan nada sayu. Pesan bina pusat tahfiz Menurutnya, Jamaluddin tidak menunjukkan sebarang reaksi aneh sebelum kejadian tersebut. Namun, beliau berkata, pesanan terakhir yang ditinggalkan oleh Jamaluddin dua hari sebelum itu masih terpahat di ingatannya. “Dia biasa sangat, dia berborak, ketawa sepanjang pagi, (kami) pergi tengok rumah mak dia, berjogging dan memang tak menunjukkan apa-apa (perbuatan aneh).

 “Yang saya ingat hanya satu, yang dia (Jamaluddin) sebut pasal (untuk bina) pusat tahfiz, masa itu dia panggil pegawai daerah sekali,” katanya. Menurutnya, Jamaluddin bersungguh-sungguh untuk mengusahakan pembinaan pusat tahfiz tersebut “sementara dia masih ada”. “Tan Sri cakap begitu dua malam sebelum (dia meninggal), selepas majlis tahlil di Masjid Kampung Pianggu, Rompin,” kata Wan Kadri. Jelasnya lagi, Jamaluddin sudah bersedia untuk mewakafkan tanah peribadinya bagi membangunkan sekolah tahfiz berkenaan. 

MSTAR : NANCY SHUKRI ~ PROVAKASI MELAMPAU PUNCA KERAJAAN BUAT PUSINGAN U AKTA HASUTAN

Bimbang Provokasi Melampau Punca Kerajaan Buat 'Pusingan U' Akta Hasutan - Nancy

Diterbitkan: Selasa, 7 April 2015 10:05 PM
KUALA LUMPUR: Kebimbangan pelbagai pihak terhadap perbuatan provokasi yang semakin melampau menjadi antara sebab kerajaan membuat 'pusingan u' terhadap Akta Hasutan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.
Nancy berkata, dalam tempoh akta tersebut sepatutnya dimansuhkan sebelum ini, beliau didatangi pelbagai pihak termasuk intelektual dan profesional daripada pelbagai kaum yang mahu akta itu dikekalkan demi menjaga keharmonian negara.
"Mereka ini bimbang provokasi terhadap institusi raja, agama, bangsa dan bahasa menjadi sesuatu yang begitu biasa di negara ini apatah lagi melalui media sosial.
"Jadi mereka luahkan kebimbangan itu kerana amat risau akan terjadi pelbagai ketegangan apabila ada pihak yang menghina agama atau bangsa mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.
Namun, kata Nancy, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memastikan akta tersebut dikekalkan, tetapi kemudian lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya mengambil keputusan mengekalkannya dengan beberapa pindaan.
Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa walaupun sebelum ini bercadang untuk memansuhkan akta berkenaan.
Menurut kertas rang undang-undang itu, keputusan meminda akta berkenaan didorong perkembangan politik semasa, termasuk lontaran komen, penyebaran maklumat dan penerbitan yang dikhuatiri memudaratkan keharmonian negara.
Pindaan mengandungi penambahan -langkah dan hukuman yang diperkukuh bagi menangani ancaman terhadap keamanan, ketenteraman dan keselamatan di negara.
Bagaimanapun, Nancy yang juga anggota Parlimen Batang Sadong, berharap pihak yang mempunyai kuasa supaya seboleh mungkin mengelak menggunakan akta itu.
"Saya yakin kerajaan juga tidak mahu sewenang-wenangnya menggunakan akta ini, tetapi saya berpendapat ia patut 'disimpan' kerana supaya jika terjadi hal-hal membabitkan provokasi tidak terkawal, kita ada tempat untuk merujuknya," katanya.

Selasa, 7 April 2015

SELANGOR BERHENTIKAN 100 PENGGERAK BELIA TEMPATAN...

Gagal aktif program belia, 100 PeBT ditamatkan perkhidmatan

Oleh : NAEEM RAFFI
SHAH ALAM, 7 APR: Sekurang-kurangnya 100 Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Selangor ditamatkan perkhidmatan apabila gagal mengaktifkan program pembangunan berkenaan belia.
Exco Belia, Amirudin Shari (PKR-Batu Caves) berkata, Kerajaan Negeri memerlukan kepimpinan berwibawa untuk menjadi ejen perubahan kepada golongan belia di Selangor.
DNS-2015-small









“Ketika ini, kita sedang proses untuk mengganti 100 daripada 288 PeBT atas kegagalan mereka megaktifkan program.
“Selain laporan yang diterima, mereka juga didapati gagal menghadiri mesyuarat dan program yang dianjurkan termasuk tidak mengambil elaun ditetapkan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Dr Abdul Rani Osman (PAS-Meru) di Dewan Negeri Selangor, pagi ini.
Selangor menubuhkan PeBT pada pertengahan 2009 bertujuan merancang dan menggerakkan program pembangunan berkenaan modal insan dalam kalangan belia di negeri itu.
-NFN-

Isnin, 6 April 2015

BERITA KELIRU... ROBERT TAN HUAT SEANG DAN TAN CHUNG MENG

Terdapat beberapa kesalahan dan kekeliruan yang berlaku berkenaan dengan nahas helikopter yang telah menyebabkan enam orang terbunuh semalam. 

Pertama ialah Robert Tan. Maklumat yang beredar semalam menyatakan mangsa ialah Pengasas IGB Corp Bhd, Datuk Seri Robert Tan Chung Meng. Sebenarnya bukan.

Menurut bekas Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai bahawa itu (yang terkorban) bukan Robert Tan Chung Meng yang kini masih hidup dan berada di Australia.


Yang menjadi mangsa nahas semalam ialah seorang ahli perniagaan Kedah, Datuk Robert Tan Huat Seang yang merupakan seorang ketua pegawai eksekutif SP Baiduri Sdn Bhd.

Yang kedua ialah pembantu juruterbang yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. Foto yang banyak beradar semalam sebenarnya bukan foto beliau tetapi foto milik Dzuriasikim Dzulkefli.

Dzuriasikim berkata beliau mengetahui mengenai identiti foto yang salah pada kira-kira 7:00 malam tadi apabila beliau menerima panggilan dan mesej daripada rakan-rakan dan keluarga yang bertanya.

“Mereka memberitahu saya gambar saya dengan Cliff telah tersalah anggap dan bahawa ia telah menjadi viral pada beberapa laman rangkaian sosial dan kumpulan Whatsapp” katanya.


Sekarang siapa sebenarnya Aidana Baizieva?

Seorang jurucakap Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang tadi memaklumkan, mayat mangsa terakhir nahas berkenaan belum dituntut kerana identitinya belum dapat dipastikan.

“Kami sedang berusaha mendapatkan pihak berkuasa untuk mengesan dokumen pengenalan mangsa,” kata jurucakap berkenaan yang enggan namanya disiarkan.

Dalam pada itu Kapten Clifford William Fournier yang menerbangkan helikopter berkenaan didapati aktif menggunakan laman sosial Facebook, dengan posting terakhir beliau ialah kira-kira sejam sebelum maut dalam nahas berkenaan.

Bagaimanapun carian nama Aidana Baizieva di laman sosial itu tidak membuahkan sebarang hasil.


Ada yang menyatakan bahawa beliau ialah seorang jurnalis dari Kazakhstan yang nama sebenarnya ialah Aidana Karabasova yang fotonya seperti di atas. Tetapi Jurucakap Kedutaan Kazakhstan telah menafikan pembantu juruterbang Aidana Baizieva rakyatnya sebaliknya mengesahkan mangsa dari Kyrgyzstan.

Helikopter yang terhempas, AS 3655N2 Dauphin (9M-1GB) disewa dari sebuah syarikat swasta Chempaka Avition, yang dimiliki oleh juruterbang yang terbunuh, Kapten Cliff Fournier.

Carian terhadap syarikat berkenaan di internet tidak dapat ditemui dan oleh itu tidak dapat dibubungi untuk mengesahkan maklumat mengenai siapa sebenarnya Aidana Baizieva. Justeru siapa sebenarnya Aidana Baizieva masih misteri dan belum terungkap.

Ketiga ialah pengawal peribadi Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis iaitu Mohd Razkan Seran, pengawal peribadi Datuk Jamaluddin Jarjis yang turut terbunuh. Namanya sebelum ini jarang kedengaran.

Sabariah Jili,69, menunjukkan gambar anak bongsunya, arwah Razkan Seran yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Kampung Sungai Pening, Semenyih ketika ditemui di kediamannya di Tuaran, Ahad. -mstar

Beliau berasal dari Tuaran Sabah.

Menurut sepupunya, Marnis Sijan, isteri dan dua anak Razkan yang berusia dua serta enam tahun berada di HKL untuk menuntut jenazah Razkan.

Marnis berkata, sudah 10 tahun Razkan bertugas sebagai pengawal peribadi. 

Sabtu, 4 April 2015

NAJIB DI SARAN LETAK JAWATAN OLEH DR MAHATHIR


Dr Mahathir Mohamad.

CYBERJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan demi menyelamatkan negara dan Umno.
Beliau berkata prestasi Najib sebagai Perdana Menteri lebih teruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Sekiranya Umno mahu diselamatkan sudah tiba masanya untuk menukar kepimpinan parti itu. Siapa yang akan menggantikannya terpulang kepada Umno tetapi beliau harus letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan kepimpinan 'What Youth Should Know' di sini Sabtu.
Bekas perdana menteri itu berkata beliau sudah melepasi tempoh senyapnya dan perlu lantang bersuara kerana reputasi negara di peringkat global semakin buruk semasa di bawah pemerintahan Najib.
"Saya tidak marah. Saya hanya fikirkannya demi negara kita. Saya berdiam diri sejak beberapa tahun tetapi sekarang saya sudah melepasi tempoh senyap saya.

"Negara kita terkenal sebagai salah sebuah negara yang memiliki pentadbiran yang baik. Tetapi sekarang tidak lagi. Sekarang akhbar luar negara melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara paling korup," katanya.

Dr Mahathir turut mengkiritik Badawi semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Terdahulu, Dr Mahathir menjawab pelbagai isu kontroversi semasa sesi soal jawab diadakan.

Antara isu yang dibangkitkan adalah hukum hudud, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan hubungan antara kaum. - mStar

Khamis, 2 April 2015

APA MAKNANYA APABILA GRADUAN DIMINTA MENCIPTA KERJA OLEH MENTERI


ijuh
Graduan diminta supaya mencipta peluang pekerjaan berdasarkan ilmu yang mereka peroleh.

Perkara ini dinyatakan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusof yang berkata kerajaan mahu melahirkan graduan yang berani menceburi pasaran kerja menggunakan kreativiti secara berdikari.

“Pada masa yang sama, pihak universiti juga sentiasa memikirkan supaya para pelajar menimba ilmu dalam bidang atau kursus yang sentiasa relevan dengan pasaran kerja.

“Malahan di kalangan tenaga pengajar IPT (institusi pengajian tinggi sendiri, kita akan mencari pensyarah yang boleh melahirkan sifat keusahawanan kepada para pelajar,” katanya pada sesi dialog dengan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini pada Rabu.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr Ahmad Zaidee laidin dan Naib Canselor Datuk Prof Dr Shahrin Sahib.

Idris berkata demikian apabila disoal mengenai bilangan graduan yang melebihi peluang pekerjaan sehingga menyukarkan mereka mencari pekerjaan.

Beliau berkata menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Pendidikan Tinggi yanng mempunyai 10 lonjakan yang akan dilancarkan Selasa depan, ia turut menekankan aspek keusahawanan, selain mahu melahirkan graduan yang holistik serta berimbang.

Menurutnya, menerusi pelan itu negara berhasrat untuk melonjak diri dalam melahir lebih ramai graduan yang bukan sahaja berkualiti di rantau ini malahan bertaraf dunia.

Katanya antara pendekatan yang diambil kementerian ialah mengumpul kalangan profesional dalam bidang industri tertentu sebagai tenaga pengajar jemputan ke arah melahirkan graduan yang boleh mencontohi dinamik dan profesion tenaga pengajar berkenaan.

“Antara yang telah memberi persetujuan mengenai perkara itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan tokoh korporat tempatan lain serta sebuah sebuah syarikat antarabangsa dari Jerman,” katanya.

– BERNAMA

NAJIB : BARANGAN KEPERLUAN ASAS BERKADAR SIFAR SELEPAS GST



LOKASI: Pasaraya Giant Kota Damansara 
Dengan ditemani para pemimpin beberapa persatuan pengguna seperti FOMCA, CAP dan PPIM, Perdana Menteri Dato' Seri Najib telah membuat terjahan mengejut bagi melihat sendiri pelaksanaan GST diperingkat akar umbi serta mengetahui secara langsung dan terus akan kesan dan impaknya kepada pengguna. Gerak kerja beginilah yang amat dialu-alukan oleh rakyat .. semoga akan kerap melakukannya demi memastikan rasa tidak terkesan dan tertekan teruk dengan pelaksanaan GST serta para peniaga tidak akan ambil kesempatan atas kejahilan rakyat yang kurang maklumat disebabkan kegagalan pemimpin yang diberi amanah dan tanggung jawab membuat pemahaman iaitu tidak lain tidak bukan Ahmad Maslan CGPA 3.85. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini melakukan tinjauan harga barangan di pasar raya Giant Kota Damansara di sini, pada hari pertama pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Berbaju kemeja putih, Najib tiba di premis berkenaan pada pukul 4.45 petang dan mengujakan orang ramai yang terkejut dengan kehadiran perdana menteri. 

Najib kemudian mengambil bakul pasar raya berkenaan dan singgah di bahagian produk penjagaan diri serta membelek harga produk-produk di bahagian berkenaan sebelum mengambil ubat gigi. Beliau turut ke bahagian menjual minuman, makanan dan sayur-sayuran dan membuat pembelian antaranya milo, roti dan nanas. Ketika berada di pasar raya besar itu, Najib yang diiringi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N.Marimuthu dan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang SM Mohamed Idris, turut berbual dengan pekerja-pekerja di situ. 

Najib juga beramah mesra dan bergambar dengan pengunjung pasar raya besar itu. Selepas 20 minit meninjau barang-barang, Najib kemudian ke kaunter membuat pembayaran dan melihat resit pembayarannya. Perdana menteri turut memuat naik resit pembelian dalam akaun twitternya. "Mudah baca dan jelas dalam resit mengenai perbezaan barangan berkadar standard dan zero rated GST (kadar sifar GST). Bagus," kata Najib dalam catatan Twitter itu. 

Selepas membeli-belah, perdana menteri kemudian berbincang bersama-sama Nadzim, Marimuthu dan SM Mohamed Idris mengenai isu-isu kepenggunaan di sebuah premis makanan yang terletak dalam bangunan pasar raya besar itu. Dalam entri Facebooknya, Najib menulis: "Saya lihat harga barang di sini berpatutan dan barangan keperluan asas berkadar sifar seperti yang ditetapkan Kerajaan".