Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memandang tersangat penting insiden keganasan, penindasan dan pembunuhan umat Islam yang semakin meruncing mutakhir ini.
KEADILAN berharap dan berdoa agar negara-negara Islam bersatu di saat ini, bertindak bersama membela dan melindungi umat Islam kita.
Kejadian yang menimpa umat Islam di Palestin, China dan Myanmar di dalam bulan Ramadhan yang suci ini, begitu begitu menyayat hati, di saat kemampuan kita untuk menghulurkan pertolongan terbatas.
KEADILAN turut menzahirkan kebimbangan terhadap kegagalan negara-negara Arab untuk bersatu melindungi kesejahteraan umat Islam yang serantau.
Mutakhir yang berlaku di Palestin, meragut lebih 50 nyawa, lebih 300 yang cedera, banyak kediaman dan bangunan musnah akibat pengeboman tentera Israel yang tidak berperi kemanusiaan.
Sejak kejatuhan Presiden Mohammad Morsi, umat Islam di Gaza semakin tertekan kerana laluan masuk di pintu Rafah, untuk membolehkan bantuan kebajikan disampaikan, tersekat apabila Mesir menutup laluan tersebut.
9 Julai lalu, media melaporkan bahawa pintu Rafah dibuka di atas desakan PBB, namun kita tetap menggesa supaya tentera pengaman PBB ditempatkan di situ agar dapat memudahkan pengurusan bantuan kemanusiaan.
Dalam masa yang sama KEADILAN menggesa PBB bertindak segera menghentikan keganasan Israel di Gaza dan mendesak supaya tidak berlengah lagi menghantar delegasi ke Gaza untuk membuat tinjauan dan bantuan segera
KEADILAN juga menggesa pemerintah Mesir sentiasa membuka pintu sempadan dan memudahkan urusan petugas bantuan kemanusiaan masuk untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa pengeboman Israel.
Apa yang berlaku di Palestin, turut berlaku di China. KEADILAN berasa amat kesal dengan kejadian penindasan yang berterusan terhadap umat Islam Uighur, sebagaimana dilapor media Aljazeera.
Selain daripada dinafikan hak untuk berpuasa, mereka dilaporkan dibunuh dengan kejam dan kaum wanita dirogol. Statistik ini telah dikemukakan kepada PBB, tetapi kita kesal tiada penyiasatan dibuat.
Terdapat laporan bahawa rekod kerajaan China terhadap umat Islam Uighur ini paling buruk sekali berbanding rekod layanan tentera Israel terhadap penduduk Palestin.
KEADILAN juga menzahirkan kerisauan terhadap tindakan pembersihan etnik yang dilakukan junta tentera terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar.
PBB telah mengeluarkan statistik bahawa 80 peratus daripada pelarian di dunia adalah orang Islam. Ramai yang tidak bernegara, seperti Rohingya, tanpa kewarganegaraan atau hak kewarganegaraan.
Malah ada kalangan negara-negara umat Islam, sendiri menanggapi mereka sebagai pelarian dan dilayan sebagai penduduk kelas ketiga.
Umat Islam tidak seharusnya duduk berdiam diri apabila keganasan terus berlaku di Palestin, China dan Myanmar.
Justeru, marilah semua umat Islam berbuat apa yang mampu dan terdaya membantu rakan-rakan kita di Palestin, China dan Myanmar.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
Presiden KEADILAN
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=62117
Tiada ulasan:
Catat Ulasan