Isnin, 17 Jun 2013

BLACK 505 ~ DBKL GAGAL BAGI ALASAN MUNASABAH

Black 505: DBKL gagal beri alasan munasabah- Rafizi

(Oleh: Ruqayya Rahman)
KUALA LUMPUR 14 Jun: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) gagal memberi alasan mengapa Himpunan Black 505 tidak boleh diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
“DBKL gagal memberi alasan yang munasabah kenapa himpunan perlu diadakan di tempat tertutup.
“Arahan itu menyalahi hak yang diperuntukkan bagi himpunan aman, kalau kita terus terima keputusan DBKL, ini bermakna kita telah bertentangan dengan prinsip PR yang konsisten mempertahan isu hak dan hubungan langsung dengan rakyat,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pertemuan antara wakil Pakatan Rakyat dan DBKL di Bilik Mesyuarat DBKL, Jalan Raja Laut hari ini. Pakatan turut diwakili dua Ahli Parlimen iaitu Datuk Johari Abdul dan Fong Kui Lun.
DBKL sebelum ini menolak permintaan Pakatan Rakyat mengadakan himpunan di Padang Merbok dan menetapkan himpunan hanya boleh diadakan di stadium dan tempat tertutup.
Bagaimanapun menurut Rafizi, keputusan akhir hanya akan dibuat selepas mesyuarat diadakan dengan pimpinan Pakatan Rakyat dan NGO terlibat.
“Setakat ini, mandat kami tidak berubah, himpunan akan tetap diadakan di Padang Merbok. Namun kita akan maklum semula dari masa ke semasa,” katanya menyifatkan pertemuan dengan pihak DBKL hari ini berjalan dalam keadaan baik dan mesra.
Sementara itu, wakil gabungan 50 NGO Suara Rakyat 505, Badrul Hisyam Shaharin (Chegu Bard) berkata, alasan DBKL bersifat politik dan NGO itu akan kekal dengan keputusan sebelum ini.
“Kita sudah buat keputusan bahawa himpunan ini perlu berlaku. Kita sudah ikut semua prosedur, dan ternyata alasan penolakan ini bersifat politik. NGO akan kekal dengan kehendak rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: