Jumaat, 10 Mei 2013

TAN SRI KHALID DI SOKONG PENUH OLEH DAP, PAS JADI MENTERI BESAR






Satu perhimpunan Pakatan Rakyat malam tadi yang bertujuan meraikan kejayaannya mengekalkan Selangor, bertukar menjadi perhimpunan pro-Khalid Ibrahim, menyokong beliau menjadi menteri besar bagi penggal kedua.

Manakala sesetengah penceramah seperti Pengerusi PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman dan Senator Syed Shahir Syed Mohamud dari PKR meminta mereka menyerahkan keputusan mengenainya kepada Pakatan Rakyat, tetapi yang lainnya telah menyatakan pendirian mereka dengan jelas.

NONETimbalan Pengerusi PAS Selangor, Khalid Samad (kiri) memberitahu
hadirin lebih 5,000 orang itu bahawa walaupun PAS mempunyai kerusi DUN yang lebih daripada sekutu-sekutunya DAP dan PKR, tetapi ia tidak mendambakan jawatan tertinggi kerajaan negeri itu.

Beliau berkata parti itu menganggapnya jawatan itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab, dan bukannya hadiah untuk direbut.

"Apabila ditanya oleh pemberita, saya jawab bukan pelik jika satu pasukan bola sepak menang Liga Eropah, tiba-tiba pengurusnya ditukar," katanya sambil menambah bahawa itu adalah satu langkah yang sangat pelik dan tidak sesuai.

Berucap sewaktu perhimpunan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam itu, Khalid mengakhir analogi bola sepak itu dengan menambah bahawa Pakatan Selangor telah mencapai kejayaan yang cemerlang dan Umno serta BN tidak tahu bagaimana hendak mengendalikannya.
Khalid menambah bahawa beliau telah menerima surat daripada Presiden PAS, Datuk Hadi Awang dua hari lepas (7 Mei) menyokong Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

NONEBercakap kepada pemberita kemudian, Khalid Samad berkata surat daripada Hadi sebenarnya ditujukan kepada Sultan Selangor dan Abdul Rani telah ditugaskan untuk menyerahkannya.

Sementara itu, seorang lagi penceramah, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata parti itu telah menghantar surat kepada Sultan, juga menyokong Khalid Ibrahim menjadi menteri besar.

Beliau memberitahu pemberita kemudian bahawa surat itu adalah dari Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng dan telah dihantar pada 8 Mei.

Sepanjang dua jam ceramah politik itu, orang ramai juga secara spontan melaungkan "Kekalkan Tan Sri Khalid" beberapa kali.

Apabila tiba gilirannya untuk berucap, Khalid Ibrahim berkata keutamaan beliau adalah untuk mengembalikan kekayaan negeri kepada rakyat, dan berkata beliau akan berucap pendek kerana beliau hanya tahu bagaimana hendak bekerja dan bukan bagaimana hendak menyerang pihak lawannya.

Khalid Ibrahim juga berjanji untuk menyediakan maklumat terkini mengenai pencapaian kerajaan negeri setiap dua bulan jika dilantik semula, supaya rakyat Selangor tahu apa yang telah dilakukan.

NONEDalam perkembangan lain, awal semalam, Pengerusi PKR Selangor,
Azmin Ali (kanan) dilaporkan berkata - tanpa menyebut sebarang nama - bahawa beliau tidak mahu menteri besar yang mudah dipengaruhi oleh orang lain.

Akhbar harian berbahasa Inggeris The Star dalam edisi talian, memetik Azmin sebagai berkata memandangkan Selangor diberi mandat yang kukuh dengan 40 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, maka ia perlu diketuai seorang pemimpin yang tegas dengan wawasan yang jelas.

Spekulasi sudah lama tersebar bahawa beliau sendiri mengintai jawatan menteri besar, walaupun beliau telah menyatakan sokongannya kepada Khalid semasa sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas.

Ketika diminta mengulas mengenainya, Khalid Ibrahim (kiri) memberitahu pemberita, "Semua perkara telah diambil kira dan tidak ada keperluan untuk menyatakannya secara terbuka".

Beliau berkata, keputusannya akan merupakan satu keputusan bersama antara ketiga-tiga parti (dalam Pakatan Rakyat)."

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PAS tak berani jadi menteri besar selangor sebab takut tak mampu selesaikan masalah arak, judi, pelacuran, dll maksiat yg tumbuh macam cendawan di selangor........nanti malu besarlah PAS kalau tak berupaya cegah semua tu.!