KUNDANG, 26 APR : Calon Pakatan Rakyat DUN Kuang, Tengku Maraziyah Tengku Sulaiman tekad mahu mewakili suara wanita jika beliau berjaya menjadi wakil rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Menurutnya, sebahagian besar pengundi di kawasan itu terdiri daripada golongan wanita, justeru adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memperjuangkan kaum itu.
“Setakat hari keenam saya berkempen di sekitar DUN Kuang, nampaknya penerimaan masyarakat setempat sangat positif kerana bagi saya calon wanita itu lebih dekat di hati pengundi.
“Saya juga banyak melawat ke kampung-kampung untuk bertemu pengundi dan amat mengejutkan mereka menyambut baik saya sebagai calon wanita di sini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pasar malam Kundang bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, petang tadi.
Tambahnya, isu anak tempatan dan calon muka baru yang sering dibangkitkan sesetengah pihak tidak akan mematahkan semangat beliau untuk memenangi hati rakyat di DUN itu.
Malah katanya, beliau yakin mampu memberi saingan sengit kepada penyandang DUN BN, Abdul Shukur Idrus.
“Saya tiada masalah dan orang yang kata saya muka baru. Itu adalah orang yang kecewa dengan pencalonan saya di sini.
“Saya telah bergiat di Parlimen Selayang sejak tahun 2000 lagi dan Kuang adalah tempat ‘lepak’ saya bersama ahli parti wanita. Orang kampung terima saya dengan baik,” katanya lagi.
DUN Kuang menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Tengku Maraziyah (PKR) menentang calon BN yang merupakan penyandang kerusi itu, Abdul Shukur Idrus dan calon Bebas, Zahariman Abd Latip.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan