SHAH ALAM – Penyebaran gambar perlakuan
intim seorang lelaki yang didakwa mirip Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim disifatkan sebagai taktik basi digunakan pihak lawan untuk
‘menyerang’ Pakatan Rakyat (PR).
Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza
Mohamed Talha mendakwa, taktik itu sudah diketahui umum memandangkan ia
kerap dimainkan menjelang pilihan raya umum (PRU) dan orang ramai juga
sudah boleh ‘menghidu’ dalang di sebalik penyebaran gambar berkenaan.
“Ia sudah jadi tidak relevan lagi. Biar
mereka (individu tidak bertanggungjawab) buat selalu (perkara sebegini).
Kelak rakyat sendiri akan jemu dan menolak mereka.
“Tindakan mereka itu ibarat sudah
musnahkan masa depan politik sendiri,” katanya ketika diminta mengulas
berhubung satu blog yang memuatkan entri memaparkan 13 gambar perlakuan
intim seorang lelaki mirip Anwar dengan seorang lagi lelaki lain.
Haniza yang juga Adun Taman Medan
mendakwa, pihak yang tidak bertanggungjawab itu tidak mempunyai modal
lain dan terdesak sehingga terpaksa mengeluarkan gambar berunsur lucah
untuk menjatuhkan PR.
Beliau bagaimanapun yakin PR tidak akan tergugat dengan 'serangan' ini memandangkan rakyat sudah muak dengan taktik tersebut.
“Sepatutnya dalam politik, kita kena tumpukan kepada perkara berkaitan
dasar dan polisi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,
bukannya menggunakan politik durjana," katanya.
Timbalan Setiausaha DAP Negeri, Ng Suee Lim berkata, PR sudah menjangka
serangan taktik kotor akan menjadi semakin rancak digunakan pihak tidak
bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), terutama
terhadap Anwar.
“Ini kerana, beliau (Anwar) yang kita
(PR) tonjolkan sebagai ketua umum dan bakal perdana menteri jika PR
berjaya membentuk kerajaan dalam PRU akan datang.
“Sejak 15 tahun lalu, beliau sudah jadi
sasaran utama parti politik, penulis blog dan pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) yang tidak memihak kepada PR untuk menyerang beliau antaranya isu
liwat I dan II, kemudian dikait dengan video seks bersama seorang
wanita,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor,
Dr Abdul Rani Osman berkata, ia bukan perkara baru yang dilakukan pihak
tertentu, sebaliknya mereka yang terlibat hanya ‘kitar semula’ isu
berkenaan.
“Ini satu tindakan tidak bermaruah dan
politik kotor kerana tiada fakta yang jelas untuk membuktikannya.
Sepatutnya, dalam politik ini, kita hanya ‘bertempur’ dari segi idea,
bukan dengan cara seperti ini.
“Saya percaya, rakyat kini sudah bijak menilai mana (perkara) yang betul,” katanya.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan