Selasa, 5 April 2011

TS KHALID IBRAHIM - RAKYAT BERHAK PEROLEHI GERAN TANAH

KALUMPANG - Kerajaan Negeri menyedari wujud kontroversi berkaitan permohonan tanah di negeri ini.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, antara masalah yang timbul membabitkan permohonan tanah kosong atau tidak diusahakan selain permohonan tanah berstatus pendudukan tanah sementara (TOL). Menurutnya, Kerajaan Negeri memutuskan untuk tidak memberikan hak pemilikan tanah kepada pemohon bagi permohonan di tanah-tanah kosong. “Kita juga tidak memberikan hak kepada tanah yang disewakan seperti kebanyakan dibuat pemilik TOL yang menyewakan tanah mereka kepada orang lain. “Bagaimanapun, penyewa ada hak untuk memohon dan memperoleh hak milik tanah sekiranya menduduki tanah tersebut untuk tempoh 10 hingga 15 tahun,” katanya selepas menyampaikan Borang 5A kepada 27 penduduk Kampung Sejantung di sini kelmarin. Hadir sama pada program itu, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Elizebert Wong, Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Penghulu Mukim Kalumpang, Abdul Ghani Surani serta beberapa Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor. Khalid berkata, tujuan Kerajaan Negeri melaksanakan pendekatan tersebut untuk memberi keutamaan dan kelayakankepada semua rakyat memiliki rumah sendiri. Menurutnya, menerusi pendekatan itu Kerajaan Negeri dapat memastikan semua rakyat yang mengusahakan tanah memperoleh hak pemilikan tanah. Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri berhasrat menjayakan usaha setinggan sifar yang lebih berkesan dengan memberikan rakyat hak yang sewajarnya diperolehi.
Sementara itu, Khalid berkata, Kerajaan Negeri telah menyelesaikan lebih 80,000 masalah pemilikan tanah di Selangor dalam tempoh tiga tahun pentadbirannya di negeri ini. Beliau berkata, penyelesaian itu meliputi pemberian geran tanah dan borang 5A di mana penyelesaian menerusi pendekatan berbeza dilakukan kerajaan terdahulu yang menggunakan TOL yang dilihat tidak menyelesaikan masalah pemilikan tanah rakyat. Khalid turut mengakui wujud lebih 100,000 permohonan geran tanah di negeri ini dan menurutnya jumlah tanah yang ada mampu menampung jumlah permohonan itu sekiranya diteliti. Dalam pada itu, Khalid meminta kerjasama ketua-ketua kampung dan masyarakat memberi kerjasama kepada pegawai daerah dan penolong pegawai untuk melaksanakan pemantauan seterusnya menyelesaikan masalah permohonan geran dikemukakan penduduk di kawasan masing-masing.

Tiada ulasan: