Khamis, 3 Mac 2011

Sikap degil undang bahaya, jejantas sg choh tidak digunakan penduduk


SUNGAI CHOH - Tindakan beberapa pelajar sekolah yang mengabaikan keselamatan sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa semata-mata enggan menggunakan jejantas mampu mengundang padah.
Malah, tindakan berani mereka melintas jalan di waktu kenderaan lain berpusu-pusu pergi dan balik kerja boleh mengakibatkan tragedi kemalangan. Situasi ini dilihat berlaku di persimpangan lampu isyarat Sungai Choh di sini apabila tibanya waktu puncak. Beberapa kumpulan pelajar sekolah termasuk orang awam akan kelihatan berjalan melintasi laluan tersebut tanpa menghiraukan keselamatan serta pengguna jalan raya. Sedangkan jejantas yang dibina hanya kira-kira 50 meter daripada persimpangan tersebut. Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan, 37, berkata, tindakan pelajar tersebut jelas mengundang risiko kemalangan memandangkan kenderaan sentiasa bertali arus. “Ini sebenarnya bergantung kepada sikap pengguna sendiri yang tidak menghiraukan keselamatan mereka. “Sebelum ini, suara penduduk didakwa tidak didengar apabila memohon pembinaan jejantas di kawasan tersebut, tetapi sebaliknya berlaku setelah jejantas disiapkan apabila penduduk sendiri tidak mahu menggunakannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Manakala, Kamariah Ariffin, 34, berkata, kesalahan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada pelajar mahupun pejalan kaki kerana tindakan mereka pasti ada sebabnya. Menurutnya, mungkin pihak berwajib perlu memikirkan langkah alternatif bagi menyediakan kemudahan khusus kepada mereka. “Pelajar ini mungkin ada alasan sendiri apabila ditanya mengenai tindakan mereka kerana apabila melihatkan jarak yang terpaksa mereka lalui daripada sekolah ke persimpangan ini cukup jauh. “Pastinya pelajar letih dan bila hendak mengunakan jejantas mereka terpaksa melencong jauh sebelum berpatah balik untuk ke kawasan perkampungan di sini,” katanya. Sementara itu, peniaga, Fadzil Safian, 33, mengemukakan cadangan positif untuk pertimbangan pihak berwajib dengan membina laluan khas pejalan kaki di persimpangan tersebut. Menurutnya, laluan khas itu mungkin lebih selamat malah pejalan kaki tidak perlu untuk menggunakan jejantas kecuali bagi murid sekolah rendah berhampiran. “Saya fikir pembinaan laluan khas pejalan kaki ini tidak hanya tertumpu di persimpangan tersebut malah tidak salah jika disediakan di sepanjang jalan daripada persimpangan sekolah menengah di sini. “Kerana pelajar sekolah banyak yang berjalan kaki daripada sekolah sehingga persimpangan ini untuk ke Kampung Tanjung atau ke hentian bas yang jaraknya kira-kira 300 meter,” katanya. Namun katanya, pembinaan laluan khas itu yang bertujuan untuk keselamatan perlu mengambil kira banyak aspek kerana akan melibatkan tanah penduduk di sepanjang laluan berkenaan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya salah seorang penduduk Sungai Choh. memang benar saban hari ramai pelajar dan penduduk sekitar tidak menggunakan jejantas yang disediakan walaupun dikala trafik sesak terutama didepan lampu isyarat. Rasanya lebih efektif jika ditempatkan seorang polis trafik setiap pagi untuk memantau mereka yang melintas dan menyaman jika masih ada yang masih berdegil. jejantas itu tidak lah jauh sangat seperti apa yang didakwa, nyawa adalah lebih bernilai dari rasa letih. Tetapi sebelah malam pula, jejantas ini gelap gelita kerana tidak berlampu dan mengundang rasa takut ( dirompak) jika menggunakannya. Ada baiknya jika majlis daerah KKB menambah kan sedikit prasarana keatas jejantas ini kerana ia juga kelihatan kotor dan usang.