Jumaat, 25 Februari 2011

SKIM MIKRO KREDIT SELANGOR - SKIMSEL

Penantian orang ramai kepada pinjaman mudah yang ditawarkan Kerajaan Selangor kepada golongan miskin hari ini berakhir apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melancarkan Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) di Masjid Makrufiah, Parit Baru, Sabak Bernam tahun lepas.
Skim ini bertujuan membantu golongan miskin berpendapatan kurang RM1,500 sebulan memperolehi dana bagi memulakan atau melebar luas perniagaan sedia ada sebagai salah satu usaha membebaskan daripada kepompong kemiskinan.
Untuk tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM70 juta bagi membiayai skim ini. RM50 juta diperuntukkan kepada masyarakat di luar bandar manakala RM20 pula untuk masyarakat bandar.
Sejak penubuhan Yayasan Dar Al-Qard Al-Hasan Selangor pada 8 Julai 2010, seramai 61 wanita sudah dikenal pasti layak menerima pembiayaan modal perniagaan terbabit sebanyak RM3,000 dengan tempoh pembayaran balik maksima 12 bulan.
“Pinjaman ini berkonsepkan jati diri yang bermakna jika mereka sanggup meminjam mereka juga sanggup membayar balik.
“Kita menyediakan pembiayaan mudah dan pembayaran yang fleksibel. Tujuan skim bukan mengejar keuntungan tetapi membantu meningkatkan pendapatan golongan kurang berkemampuan menerusi aktiviti ekonomi”, kata Tan Sri Khalid pada majlis pelancaran skim terbabit baru-baru ini.
Pada peringkat awal, skim ini mula beroperasi di Sabak Bernam. Menjelang akhir 2010, skim ini bakal diperluas ke Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Skim ini tidak memerlukan cagaran, tidak dikenakan faedah dan penerima pinjaman tidak pula diheret ke mahkamah. Pengalaman mengendalikan skim yang serupa mendapati bahawa kesepakatan kumpulan-kumpulan kecil yang dimestikan bermesyuarat setiap minggu telah menyaksikan pembayaran balik mencecah seratus peratus.
Pada majlis pelancaran skim ini, satu taklimat khas SKIMSEL diadakan diikuti dengan tahlil dan doa selamat serta ceramah Motivasi Ramadhan.
Dana SKIMSEL ini diperoleh kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pentadbiran Menteri Besar yang berjaya menstruktur semula pembayaran hutang-hutang syarikat Talam Corporation Berhad (TALAM).
SKIMSEL ini adalah satu lagi bukti komitmen Kerajaan Selangor untuk mengagihkan hasil kekayaan negeri kepada semua rakyat terutama golongan miskin sejajar dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.
Sumber : SelangorKini

Tiada ulasan: