KUALA LUMPUR 1 Nov. - Keputusan pemilihan kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menunjukkan Naib Presiden, Azmin Ali berada di hadapan dalam persaingan merebut jawatan timbalan presiden parti itu.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata, Azmin mendahului dengan 522 undi apabila mendapat 3,051 undi berbanding Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim (2,529 undi).
Seorang lagi calon yang juga timbalan presiden parti, Mustaffa Kamil Ayub mendapat 1,149 undi.
Keputusan yang diumumkan beliau berbeza dengan apa yang tertera pada laman web rasmi PKR, http://keadilanrakyat.org dan laman Twitter Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman pagi ini yang menyiarkan keputusan Zaid mendahului dengan 632 undi.
Bagaimanapun, halaman yang menyiarkan keputusan pengundian itu tidak dapat lagi diakses mulai tengah hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, kesilapan itu berlaku ketika proses memasukkan data ke laman web berkenaan.
Berdasarkan keputusan laman web yang disiarkan pagi ini, Zaid mendapat 3,683 undi berbanding Azmin (3,051 undi) dan Mustaffa Kamil (1,271 undi).
Sebanyak 68 cabang selesai mengadakan pengundian yang berlangsung sejak Jumaat lalu sehingga semalam.
Pengundian pemilihan pusat itu berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk peratusan keluar mengundi yang rendah antara sembilan hingga 20 peratus sahaja.
Pemilihan membabitkan 222 cabang PKR yang diadakan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad akan berakhir pada 21 November ini sebelum diikuti Kongres Nasional Tahunan PKR pada 27 dan 28 November ini di Shah Alam, Selangor.
Bagaimanapun, tiada sebarang kesilapan proses memasuk data ke laman web PKR bagi pertandingan merebut empat kerusi naib presiden yang menyaksikan 17 calon bertanding.
Keputusan rasmi seperti yang disiarkan dalam laman web itu menunjukkan Pengarah Strategi PKR, Tian Chua mendahului pencabar terdekatnya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dengan 78 undi.
Beliau mendapat 3,621 undi manakala Nurul Izzah (3,543 undi) dan Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh (2,895 undi).
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman pula memperolehi 2,852 undi diikuti Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan (2,080 undi); Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar (1,679 undi); Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa (1,553 undi); R. Suresh Kumar (1,237 undi) dan Yahya Sahri (1,178 undi).
Pemimpin PKR Sarawak, Baru Bian memperoleh 659 undi; calon PKR di Batu Sapi, Ansari Abdullah (646 undi); bekas Pengarah Komunikasi PKR, Jonson Chong (626 undi); Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff (615 undi); Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam (492 undi); Pengerusi PKR Sarawak, Dominique Ng (284 undi); Setiausaha PKR Johor, Saiman Marjuki (166 undi) dan Ketua PKR Cabang Papar, James Ghani (106 undi).
Bagi kerusi Ketua Wanita PKR, penyandangnya, Zuraida Kamaruddin mendapat 1,160 undi mengatasi dua pencabarnya, Animah Ferrar (408 undi) dan Suraya Sudin (403 undi).
Bagi pemilihan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin memperoleh 1,133 undi, mendahului 104 undi berbanding penyandang jawatan itu, Shamsul Iskandar Md. Akin (1,029 undi).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan