Jumaat, 15 Oktober 2010

SULTAN SHARAFUDDIN SHAH TITAH PERATURAN MAIS DAN JAIS DIPATUHI

RAWANG 15 OKT: Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mahukan Orang Besar Daerah bertanggungjawab bagi memastikan peraturan seperti larangan orang bukan Islam masuk ke ruang solat masjid dan berpolitik dalam Masjid dilaksanakan dan dipatuhi sepenuhnya oleh semua Masjid di Negeri Selangor.
Baginda turut bertitah bahawa semua peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah bertujuan untuk menjamin kesejahteraan umat Islam di Negeri Selangor ini.
"Orang Besar Daerah menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan MAIS dan JAIS berkaitan dengan keperluan tauliah bagi penceramah agama, larangan orang bukan Islam masuk ke ruang solat dan lain-lain peraturan dipatuhi sepenuhnya," titah Baginda dalam Majlis Perasmian Masjid Bandar Tasik Puteri di sini, hari ini.
Turut hadir mengiringi Baginda ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi.
MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Istiadat Melayu Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.
Masjid bernilai RM 5.2 juta dibina pada Februari 2007 dan siap pada 11 Januari 2008 dengan kos pembinaan diperuntukkan kerajaan negeri.
Sultan Sharafuddin turut menyatakan baginda tiada masalah dengan orang luar Selangor memegang jawatan Nazir dan Ahli Jawatankuasa Masjid selagi mengikut telunjuk badan agama negeri.
"Nazir dan AJK Masjid perlu mendengar pandangan dan arahan dari mereka yang diberi kuasa seperti Mufti dan MAIS dalam perkara berkaitan hukum dan tidak mendengar dan terpengaruh dengan pandangan dan fatwa yang dikeluarkan mereka yang tidak berkuasa," titah Baginda
Baginda turut mengingatkan para pentadbir masjid supaya berfikiran positif, bersatu dan menjaga amanah menguruskan masjid dengan baik."Janganlah mengharapkan kepentingan peribadi atau kumpulan semata. Malah harapan diletakkan di atas pemimpin agama, masyarakat dan ajk masjid adalah untuk kesejahteraan rakyat dan umat yang berada di bawah tanggungjawab kita," titah Baginda lagi.

Posted by RAKYAT MARHAEN

Tiada ulasan: