Ahad, 31 Oktober 2010

TAHNIAH NEGERI KELANTAN DARUL NAIM....2-1 JADI KENANGAN PAHIT BUAT NEG 9

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa hari ini sempena kejayaan pasukan bola sepak The Red Warriors menjulang Piala Malaysia edisi ke 84 malam tadi.
Pengumuman dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini selepas menyaksikan sendiri detik gemilang Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

Rabu, 27 Oktober 2010

PRK : Satu lawan satu di Galas, tiga penjuru di Batu Sapi

Proses penamaan calon di kedua-dua tempat, Galas, Kelantan dan Batu Sapi, Sabah memakan masa sejam berakhir jam 10.00 pagi tadi.
Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Galas bakal menyaksikan satu lawan satu manakala pertandingan tiga penjuru di PRK parlimen Batu Sapi
Di Gua Musang, calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusof yang paling awal tiba di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang.
Beliau tiba di pusat penamaan pada 9.05 pagi, diiringi oleh Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Presiden MCA Dr Ng Yen Yen dan Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.
Turut mengiringi beliau ialah Naib Presiden Ahmad Zaid Hamidi, ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom, Ketua Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Calon PAS Dr Zulkefli Mohamad tiba jam 9.30 pagi, di iringi di antara lain, oleh Presiden parti Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Mahfuz Omar, Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dan Naib Presiden PKR Azmin Ali.
Para penyokong berkumpul di sepanjang jalan ke pusat penamaan calon seawal jam 7.30 pagi, membawa bendera dan sepanduk parti, untuk menyokong calon masing-masing.
Kedua-dua penyokong BN dan PAS dipisahkan oleh zon keselamatan 100 meter di luar pusat penamaan calon.PRK Galas terpaksa di adakan semula berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat penyakit barah usus pada 27 September lalu.
Terdapat 11,553 pengundi berdaftar di Galas, meliputi 7,125 Melayu, 2,317 Cina, 185 India, 10 Siam dan 1,889 Orang Asli.

Pertandingan tiga penjuru

Sementara itu di Sandakan, proses penamaan calon untuk kawasan parlimen Batu Sapi juga bermula jam 9.00 pagi di Dewan Komuniti Sandakan.
Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengetuai para penyokong BN ke tempat penamaan calon manakala PKR diketuai oleh Presiden Wan Azizah Wan Ismail.
Para penyokong parti pembangkang Sabah, Parti Progresif Sabah (SAPP) diketuai oleh presiden parti dan juga bekas ketua menteri Yong Teck Lee, yang juga merupakan calon pilihan raya kecil ini.
BN menamakan Linda Tsen Thau Lin, 54, balu mendiang ahli parlimen Batu Sapi Edmund Chong, sebagai calonnya manakala PKR memilih peguam Ansari Abdullah, 56, sebagai calonnya.
Cuaca di pusat penamaan calon adalah baik dengan para penyokong calon masing-masing berkumpul seawal terbitnya matahari dan tiba di pusat itu jam 8.30 pagi.
Sekumpulan anggota polis dikerahkan untuk mengawal trafik dan memastikan tidak berlaku insiden yang tidak diingini di sekitar jalan pantai yang sempit menuju ke pusat penamaan calon - FMT

Sabtu, 23 Oktober 2010

Team Chegubard, Adun Teja kecewa soal kaum pengaruhi trend undi sayap muda


Badrul Hisham Shaharin dan Chang Lih Kang menunjukkan manifesto barisan mereka yang bertanding jawatan Angkatan Muda Keadilan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
SENAWANG, 23 Okt Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin yang bertanding jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan gandingan Adun Teja Chang Lih Kang sebagai timbalannya kecewa kerana faktor kaum dijadikan pertimbangan sokongan pemilihan sayap muda PKR itu.
Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” berkata, beliau terkilan kerana aspek kaum masih dianggap sebagai faktor untuk memberikan sokongan kepada Chang yang dimasukkan dalam barisannya.
Katanya, ahli-ahli PKR seharusnya menunjukkan teladan positif kepada parti lain dengan mengetepikan soal ini.
“Saya mendengar di bawah (akar umbi), ada cakap-cakap yang bertanya mengapa saya pilih Chang Lih Kang, orang Cina sebagai calon bagi jawatan timbalan ketua AMK dalam pasukan saya.
“Saya hairan dengan perkara macam ini yang kelihatan masih wujud (dalam PKR) sedangkan kita tidak harus ikut garisan perkauman.
“Dia kaum apa, latar belakang apa, tidak harus wujud dalam PKR. Saya memang kecewa (apabila mendengar isu ini),” kata beliau ketika ditemui pada sesi pengenalan calon barisannya kepada ahli-ahli AMK PKR Negeri Sembilan di sini malam tadi.
Barisannya bertanding atas tema “Penerus Perjuangan Reformasi”. Kata Badrul Hisham, ada pihak yang mempersoalkan sebab beliau memilih calon timbalannya daripada kalangan orang Cina. Perkara itu turut diakui Chang dalam ucapannya.
Dalam PKR, keanggotaan 50 peratus adalah orang Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 peratus lain-lain.
Bagaimanapun Badrul Hisham menekankan, isu itu belum mencapai tahap yang serius tetapi sebagai sebuah parti pelbagai kaum, perkara seperti ini tidak seharusnya wujud.
“Saya masih menganggap soal membangkitkan Chang Lih Kang seorang calon Cina dan tidak harus undi bagi jawatan timbalan sebagai kes terpencil.
“Kami yakin soal-soal ini tidak akan menjejaskan peluang kami untuk menang kerana kami mengetengahkan visi dan misi kami kepada para ahli,” kata beliau lagi.
Kata beliau, pasukannya juga tidak membuat sebarang aduan mengenai isu berkenaan kepada jawatankuasa pemilihan pusat.
Ditanya mengenai pihak di belakang isu berkenaan, Badrul Hisham tidak mahu menuding jari ke arah mana-mana pihak.
Persaingan jawatan ketua AMK menyaksikan pertarungan satu lawan satu.
Badrul Hisham, ketua PKR Rembau mencabar Shamsul Iskandar Mohd Akin yang memutuskan untuk mempertahankan kedudukannya. Gandingan Shamsul Iskandar bagi jawatan timbalan ketua AMK ialah Khairu Anuar Zainudin Jonah.
Sementara itu, Chang yang berucap pada majlis tersebut berkata, beliau berharap ahli-ahli PKR khususnya AMK akan mengetepikan pemberian sokongan mengikut garis kaum dan latar belakang.
“Saya tidak kisah kalau saya kalah kerana saya tidak kacak, saya tidak kisah kalau saya kalah jika atas alasan saya tidak pandai berucap, tetapi saya tidak mahu kalah kerana menganggap saya seorang Cina atau kerana latar belakang saya,” kata beliau yang juga bekas pemimpin pertubuhan bukan kerajaan Suaram dan Gerkaan Anti-ISA (GMI).
“Saya pernah terlibat dalam NGO Suaram, pernah bertindak sebagai setiausaha GMI... semasa dalam GMI, saya membantu mereka yang ditahan di bawah ISA, yang kebanyakan adalah orang Melayu-Islam termasuk anak Mursyidul Am PAS (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat),” kata beliau.
“Saya pernah ditahan kerana membantu orang Melayu yang rumah mereka dirobohkan di Ampang, itu komitmen saya tak kira agama dan kaum.
“Kami akan membantu semua orang ... sebab itu saya sedih dengan tindakan segelintir orang yang menganggap saya orang Cina... nilai saya atas kebolehan saya, keupayaan saya, bukan kerana warna kulit dan latar belakang,” kata beliau.
Selain Chang, barisan calon Badrul Hisham terdiri daripada  Dr Nicholas J Gantobon dari Sabah, Yunus Jamhari (Perak) dan Sivam Veeramuthu (Selangor) yang bertanding tiga kerusi naib ketua.
Proses pengundian pemilihan pusat PKR termasuk AMK dan Wanita akan bermula 29 Oktober ini, dijalankan secara berperingkat selama tiga minggu.
Ini kali pertama PKR memperkenalkan sistem pemilihan secara langsung melibatkan undi setiap ahli.

Jumaat, 15 Oktober 2010

SULTAN SHARAFUDDIN SHAH TITAH PERATURAN MAIS DAN JAIS DIPATUHI

RAWANG 15 OKT: Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mahukan Orang Besar Daerah bertanggungjawab bagi memastikan peraturan seperti larangan orang bukan Islam masuk ke ruang solat masjid dan berpolitik dalam Masjid dilaksanakan dan dipatuhi sepenuhnya oleh semua Masjid di Negeri Selangor.
Baginda turut bertitah bahawa semua peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah bertujuan untuk menjamin kesejahteraan umat Islam di Negeri Selangor ini.
"Orang Besar Daerah menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan MAIS dan JAIS berkaitan dengan keperluan tauliah bagi penceramah agama, larangan orang bukan Islam masuk ke ruang solat dan lain-lain peraturan dipatuhi sepenuhnya," titah Baginda dalam Majlis Perasmian Masjid Bandar Tasik Puteri di sini, hari ini.
Turut hadir mengiringi Baginda ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi.
MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Istiadat Melayu Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.
Masjid bernilai RM 5.2 juta dibina pada Februari 2007 dan siap pada 11 Januari 2008 dengan kos pembinaan diperuntukkan kerajaan negeri.
Sultan Sharafuddin turut menyatakan baginda tiada masalah dengan orang luar Selangor memegang jawatan Nazir dan Ahli Jawatankuasa Masjid selagi mengikut telunjuk badan agama negeri.
"Nazir dan AJK Masjid perlu mendengar pandangan dan arahan dari mereka yang diberi kuasa seperti Mufti dan MAIS dalam perkara berkaitan hukum dan tidak mendengar dan terpengaruh dengan pandangan dan fatwa yang dikeluarkan mereka yang tidak berkuasa," titah Baginda
Baginda turut mengingatkan para pentadbir masjid supaya berfikiran positif, bersatu dan menjaga amanah menguruskan masjid dengan baik."Janganlah mengharapkan kepentingan peribadi atau kumpulan semata. Malah harapan diletakkan di atas pemimpin agama, masyarakat dan ajk masjid adalah untuk kesejahteraan rakyat dan umat yang berada di bawah tanggungjawab kita," titah Baginda lagi.

Posted by RAKYAT MARHAEN

Isnin, 11 Oktober 2010

BENGKEL TEKNIK MENJAWAB SPM 2010 - BANGUNAN JUBLI PERAK, SUK, SHAH ALAM (10-10-10 AHAD)






Seramai lebih 2500 orang pelajar Pusat Tuisyen Rakyat Selangor dari seluruh negeri Selangor atau PTRS telah menghadiri Bengkel Teknik menjawab SPM Perdana yang dianjurkan oleh pejabat Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor pada hari Ahad 10 Oktober 2010 yang lalu.
Program sehari itu telah di bahagikan kepada dua kumpulan lelaki dan perempuan, dengan pengisian bengkel teknik menjawab SPM didalam mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, dimana empat subjek ini adalah teras subjek kepada PTRS. Guru-guru pakar didalam subjek tersebut didatangkan khas dengan bantuan Unit Pendidikan, Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor disamping konsultan yang dilantik mengelolakan program sehari tersebut.
Yb Dr Puan Hajah Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor telah menutup bengkel tersebut pada jam 5 petang, diantara lain telah mengingatkan tentang masa depan pelajar-pelajar SPM ini didalam menghayati kehidupan dan fokus kepada SPM kerana mereka kebanyakannya adalah dari golongan dibawah pendapatan RM1500, kerajaan negeri yang sentiasa prihatin dan sensitif didalam pembelaan pelajar-pelajar didalam negeri Selangor dengan memperuntukan lebih dari RM3 juta didalam Pusat Tuisyen Rakyat Negeri Selangor ini.
Seorang dari pelajar PTRS dari SMK Taman Bunga Raya, Dun Batang Kali, Harleena Hassim ketika ditemui menyatakan kesyukuran beliau diatas jasa dan bantuan tuisyen percuma yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor, sedikit sebanyak dapat membantu dan meringankan tangungan ibubapanya .

Rabu, 6 Oktober 2010

Perasmian Pusat Aktiviti Wanita Bukit Beruntung (30 Sept 2010 Khamis 9 mlm)




Majlis perasmian dihadiri oleh Tuan Jamali, Penghulu Mukim Serendah, Penyelaras Dun Kuala Kubu Bharu, Chng Boon Lai, Ahli Majlis Tuan Chandran dan Pn Kameliyah Bien di samping beberapa pemimpin masyarakat termasuk Aktivis masyarakt, Tuan Hj Zulkifli Dawam, SU Mesjid Bukit Sentosa, Ust Ramley Mei, dan  pimpinan Pakatan Rakyat termasuk YDP Pas Hj Abd Wahid dan SU PAS Cikgu Azhar termasuk pengurusan PAW sendiri, Pn Norhayati, Pn Wan Dah, Norliza dan Badariah.

Isnin, 4 Oktober 2010

AHLI BARU MASUK PARTI JANGAN SOAL DS ANWAR

AMPANG: Naib Presiden PKR Azmin Ali hari ini mengecam pemimpin yang baru menyertai parti yang didakwa bersekongkol dengan media Umno untuk menghancurkan parti.
Beliau yang akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR berkata, pemimpin itu mencerca dan pempersoalkan pimpinan parti secara terbuka melalui akhbar milik Umno.

Katanya, jangan ingat dalam demokrasi akan bebas segala-galanya dan bercakap kepada media yang yang sebelum ini kita kata `kertas tandas.’ Bagaimanapun, ahli parlimen Gombak berkata, beliau akan melawan mana-mana individu yang sanggup menghancurkan parti.
Beliau turut meminta ahli PKR menolak pemimpin ini sebaliknya memilih pemimpin yang telah terbukti kesetiaannya kepada perjuangan parti. "Individu (pemimpin) ini telah mempertikaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua umum parti kita.
“Siapa kita nak pertikaikan Anwar Ibrahim. Cermin muka dulu, kalau kita jadi pemimpin adakah kita boleh bawa agenda reformasi,“katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat PKR cabang Gombak hari ini yang dihadiri kira-kira 100 orang.
Individu ini, kata Azmin turut memperkecil-perkecilkan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presiden.Dr Syed Husin Ali.
“Jawatan presiden yang disandang oleh Dr Wan Azizah, dia kata boneka sahaja. Syed Husin , pemimpin yang cukup berpengalam yang menghambakan diri kepada perjuangan parti pula dia kata nyanyuk atau nyanyu.
“Indiuvidu ini baru setahun menyertai PKR tetapi tidak faham agenda reformasi yang ditegaskan dalam dekrelasi Permatang Pauh 10 tahun yang lalu,”katanya.
Azmin menambah, "adakah pemimpin ini yang hendak kita pilih menjadi pemimpin parti kita."
Menurutnya, setelah menang besar pada 2008, gerombolan datang untuk masuk PKR dan parti menerima dengan tangan terbuka.
Tetapi, katanya, ada juga yang masuk untuk merosakkan parti.
Dalam ucapan kira-kira 40 minit itu, orang kuat Anwar itu turut menempelak beberapa pemimpin lain yang telah melompat parti.
"Ada ahli yang baru dua tahun menjadi ahli parlimen melompat parti, ada wakil rakyat yang khianat dan ada pemimpin yang tidak tahan diuji lompat parti dan dapat jawatan Senator," katanya.
Azmin ketika ditemui selepas majlis itu berkata, beliau akan mencadangkan kepada parti supaya mengadakan sistem iaitu mengutamakan kesetiaan sebelum boleh beratnding.
Katanya, dua tahun pertama setelah menyertai PKR adalah untuk melihat dan menguji kesetiaan.
"Selepas dua tahun barulah mereka bertanding jawatan parti, mungkin cara ini lebih baik kepada parti," katanya.