Isnin, 30 Ogos 2010

MAIS MESTI MOHON MAAF PADA YB NIE CHING, TERBURU-BURU BUAT SURAT AMARAN !

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Tindakan Majlis Agama Islam Selangor menghantar surat amaran kepada Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berhubung dakwaan beliau telah mencemar kesucian Surau Al Huda dianggap perbuatan terburu-buru tanpa dilakukan siasatan terlebih dahulu.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata sepatutnya Mais menghantar surat amaran kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum menghantarnya kepada Nie Ching kerana majlis itu memutuskan orang bukan Islam dibenarkan memasuki masjid atau surau dengan kebenaran.
"(Cadangan) itu merupakan satu tindakan yang terburu-buru dan menunjukkan pihak tersebut tidak menjalankan siasatan yang rapi. Ini juga menunjukkan tindakan Masi ini bertentangan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.
"Kita berpendirian sama seperti keputusan dalam Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang ke-90, pada 21 Mac 2010, iaitu tidak menjadi kesalahan kepada orang bukan Islam, sama ada lelaki atau pun perempuan untuk masuk ke dalam masjid termasuk ke dewan solat, asalkan mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan masjid," jelas Mahfuz.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, PAS sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan laporan oleh akhbar Utusan Malaysia yang menyatakan kehadiran Nie Ching di surau tersebut adalah bagi menyalurkan bantuan kepada ahli parti itu.
"Saya sudah bercakap dengan Pengerusi surau tersebut dan beliau menjelaskan Nie Ching hanya dijemput untuk memberi ucapan ringkas sempena kehadiran beliau untuk menyerahkan bantuan sumbangan bagi membina pagar surau itu. Tidak ada jemputan bagi menyampaikan tazkirah dan tidak ada ucapan berkaitan politik," tambah beliau.
Jelas beliau lagi, selain menyampaikan bantuan, Nie Ching juga menyampaikan maklumat kepada jemaah surau mengenai Skim Bantuan Pembiayaan Pendidikan kepada anak-anak Selangor.
Beliau berkata laporan akhbar tersebut telah memberi persepsi yang buruk kepada PAS dan juga menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor.
"Ini adalah penipuan yang nyata. Apa yang dilaporkan kepada Tuanku Sultan oleh pihak tersebut didalangi oleh kepentingan politk Umno untuk menipu pihak istana. Sekiranya Umno dan Barisan Nasional hendak bersaing dengan Pakatan Rakyat tidak salah, tetapi janganlah melakukan perbuatan yang boleh memburukkan imej agama Islam itu sendiri," tegas Mahfuz.
Beliau menegaskan fitnah itu turut akan mewujudkan persepsi buruk masyarakat bukan Islam terhadap Islam, seolah-olah agama itu bersifat kaku sehingga menghalang orang bukan Islam dengan niat baik untuk berkunjung datang ke masjid atau surau.
"Begitu juga dengan isu doa (di Pulau Pinang). Adakah tidak salah mendoakan kepada orang Islam yang jahat, tetapi salah pula untuk mendoakan orang bukan Islam yang baik?
"Bagaimana pula apabila seorang muallaf yang baru memeluk agama Islam. Tidak bolehkah dia mendoakan keluarganya yang masih belum Islam itu?" soal Mahfuz.
Tindakan Umno-BN yang disokong oleh media arus perdana ini seolah-olah ingin menjauhkan orang bukan Islam dengan agama Islam.
"Jadi saya bercadang kepada Umno, berhentilah daripada membawa mazhab mereka sendiri, tetapi bawalah mazhab-mazhab yang ada di dalam agama Islam," jelasnya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mungkin kedua2 pegawai itu belum bekerja dengan mais ketika majlis buat fatwa tersebut. mungkin juga mereka berdua itu buta sejarah sunnah. mungkin juga mereka berdua ini dapat ijazah beli. mungkin juga mereka berdua itu ingin buat fatwa sendiri khas untuk selangor.