Rabu, 18 Ogos 2010

GeMS lancar Kempen Anti-Zina 30 Ogos di I-City, Shah Alam

SHAH ALAM, 18 Ogos — Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Generasi Idaman Selangor (GeMS) akan melancarkan kempen Anti-Zina sebagai satu daripada usaha untuk membendung kes buang bayi.
Pengerusi jawatankuasa tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia Selangor Dr Halimah Ali berkata kempen itu akan dilancarkan sempena program untuk menangani gejala sosial pada 30 Ogos ini di I-City, Seksyen 7 di sini, yang dijangka dihadiri 3,000 belia.
“Program ini juga sempena sambutan kemerdekaan negara dan akan dimulakan dengan Solat Isyak dan Tarawih berjemaah selain beberapa aktiviti kesenian dan persembahan artis jemputan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata program itu bertujuan mengingatkan remaja supaya tidak lalai dan terjebak dalam gejala sosial termasuk sehingga terlanjur melakukan zina dan membuang  bayi.
Dr Halimah berkata semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pertubuhan belia dan pihak sekolah juga akan terbabit secara langsung dalam menangani isu gejala sosial itu.

Tiada ulasan: