Selasa, 8 Jun 2010

Misteri mayat bogel di Ulu Yam, Batang Kali...

uma.ramayah@utusan.com.my
KUALA KUBU 7 Jun - Penemuan mayat seorang wanita dipercayai keturunan Melayu di Sungai Tembalik dalam keadaan bogel petang semalam menimbulkan persoalan kerana kejadian yang sama juga pernah berlaku sebelum ini.
Wanita yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui terapung di sungai yang terletak berhampiran kawasan tangki air di Jalan Sungai Tua, Ulu Yam Baru dekat sini, dengan keadaan darah mengalir dari hidung.
Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Kuala Kubu Bharu hari ini mendapati, kematian wanita itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.
Punca kematian pula dikatakan akibat sesak nafas ketika lemas.
Anehnya, sebelum ini dua kejadian yang hampir sama pernah berlaku di lokasi tersebut dan mayat mangsa lemas yang ditemui juga dalam keadaan tanpa berpakaian.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, mayat yang ditemui kira-kira pukul 4 petang semalam masih belum dituntut sehingga kini.
"Laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada sebarang unsur kejadian jenayah dikesan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang mempunyai ketinggian kira-kira 152 sentimeter itu dipercayai lemas dalam tempoh kurang daripada 20 jam.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan waris atau mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: