Selasa, 25 Mei 2010

YB AMIRUDDIN - JGN PERSOALKAN KELAYAKAN MB SGR



SHAH ALAM - Pembantu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia Dan Sukan, Amirudin Shari meminta semua pihak agar tidak mempersoalkan kelayakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung keupayaan beliau memegang portfolio berkaitan belia. 

Menurutnya, untuk menilai sama ada seseorang itu mampu atau tidak bergantung kepada keputusan akhir dan hasil yang berjaya dicapai. 

“Bagi saya isu tentang layak atau tidak layak kita lihat pada keputusan akhir yang telah dicapai. 

“Ia bukannya melihat dari segi fizikal, ia perlu dilihat daripada jiwa dan perasaan. Pada tahun lepas, sekurang-kurangnya kita ada 25 program belia secara keseluruhannya di peringkat negeri dan PBT. 

“Bagi kita apa yang telah kita hasilkan ada perubahan dan anjakan yang besar, saya rasa perkara itu tidak wajar kita persoalkan hanya melihat kepada usia,”katanya pada majlis sidang media sempena Kejohanan Futsal Padang Jelajah Selangor Edisi Piala Dunia 2010 di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan pihak tertentu berhubung keperluan Khalid Ibrahim menyerahkan portfolio belia dan sukan kepada ADUN atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang lebih muda. 

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves itu lagi, dengan jiwa dan semangat kesukanan yang ditunjukkan Khalid, portfolio tersebut turut dibantu oleh tiga ADUN muda berusia bawah 35 tahun iaitu beliau sendiri, Jenice Lee Ying Ha (ADUN Teratai) dan Dr Ahmad Yunus Hairi ADUN Sijangkang). 

“Setiap sebulan atau dua bulan sekali, saya akan berjumpa dengan Menteri Besar untuk sama-sama berbincang bagi menggerakkan aktiviti dan program belia dan sukan. 

“Yang nyata perkembangan aktiviti sukan di Selangor terus rancak dan berkembang biak dengan baik. 

“Kita mengekalkan dan menjadikan juara liga dan FA bagi bola sepak. Ia satu penanda aras yang baik dan tahun ini kita melihat pasukan Selangor masih menjadi pasukan terbaik di liga begitu juga dengan sukan-sukan lain seperti sukan futsal,”katanya.

Tiada ulasan: