Sabtu, 29 Mei 2010

SRIKANDI PKR TERUSKAN PERJUANGAN GEGARKAN PERSADA POLITIK MALAYSIA


KOTA BAHRU 28 MEI: Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail menegaskan pergerakan itu, bukan bersifat puteri lilin sebagaimana tabiat kebanyakan ahli Puteri Umno.

Sebaliknya, beliau berkata, Srikandi sedia mengharungi sebarang cabaran dalam memberi penerangan, malah mereka pernah mengalami pengalaman pahit termasuk serangan berunsur seksual.

Bercakap kepada TV Selangor pada wawancara khas, Siti Aishah berkata, Srikandi mengamalkan pendekatan lasak tapi berhemah lantaran dilahirkan dalam serba daif ketika suasana politik tidak menentu. 
Terdahulu, Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin melancarkan logo baru Srikandi pada kongres ini, diiringi ucapan Siti Aishah dan tayangan video berkaitan aktiviti pergerakan berkenaan.

“Kalau tengok kepada cara mereka, Puteri Umno lebih kepada puteri lilin. Saya sifatkan begitu sebab mereka hanya turun padang ketika pilihan raya dan tidak bersama rakyat, tidak seperti srikandi PKR,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, ahli Srikandi komited dengan perjuangan dan sedia mengharungi cabaran bagi menegakkan kebenaran tanpa tidak mengejar jawatan mahupun wang ringgit.

Mengulas lanjut, Siti Aishah berkata, Srikandi diiktiraf pada tanggal 28 Februari 2009 sebagai  nafas baru oleh Wanita Keadilan dan prestasi mereka begitu memberangsangkan.

"Srikandi dibarisi dengan muka-muka baru generasi wanita muda yang berpotensi dan akan terus mara menggalas amanah yang diberi. Menjadi pengharapan buat kami agar semua wanita muda tidak mensia-siakan peluang yang ada.

Biarpun Srikandi PKR masih belum diserapkan di dalam perlembagaan parti, beliau berkata, ia bukan halangan untuk meneruskan perjuangan sekalipun dihimpit pelbagai masalah pada peringkat awal penubuhan.

"Alhamdulillah berkat usaha rakan-rakan pimpinan sama ada di perigkat Pusat, negeri dan cabang, kita berjaya menunjukkan bahawa kita mampu menggegarkan persada politik ini," katanya.






Tiada ulasan: