Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Sentosa 1 yang disifatkan penduduk ‘sekolah tampal’ bakal menerima bangunan kekal setelah projek pembinaannya dimasukkan dalam Perancangan Pembinaan tahun 2010.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Hidayat Abd Rani berkata, sejumlah RM2 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.
“Permohonan mengenai perkara ini sudah dipanjangkan, namun disebabkan pelbagai proses yang perlu dilalui, ia tertangguh.
“Setelah meneliti keperluannya, Jais memasukkan projek pembinaan SRA ini di dalam Perancangan Pembinaan 2010,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Ketika ditanya sama ada pembinaan bangunan kekal itu dilaksanakan di atas tapak 0.84 hektar, Hidayat berkata, perkara itu juga perlu diteliti dan dikenal pasti kesesuaiannya.
Beliau juga meminta agar penduduk bersabar sehingga usaha itu berjaya dilaksanakan.
Semalam, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan membangkitkan permohonan mereka berhubung pembinaan SRA tersebut yang tertangguh lebih 10 tahun.
Rata-rata bapa murid yang ditemui senada dengan suara PIBG yang mahu bangunan kekal dibangunkan dan dibina di atas tanah yang dicadangkan sebelum ini.
Sementara itu, Yang Di Pertua PIBG sekolah berkenaan, Zakaria Mat Ali, 53, ketika ditanya mengenai maklum balas Jais itu, beliau hanya mengambil sikap tunggu dan lihat kerana tidak yakin dengan kenyataan itu.
Menurutnya, maklum balas serupa pernah disuarakan Jais pada tahun lalu menerusi media yang memberitahu bahawa isu itu selesai menjelang penghujung 2009.
Bagaimanapun katanya, apa yang ada di tapak yang dicadangkan hanya tanah lapang yang tinggal tanpa sebarang projek pembinaan.
“Saya sudah beberapa kali suarakan perkara ini dan saya tidak berapa yakin dengan jawapan ini.
“Kami hanya akan percaya bila projek pembinaannya terus dilaksanakan, jika tidak kami akan terus bangkitkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan