GAMBAR : Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, Nashruddin Abd Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berbual sebelum memberikan pidato malam itu.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah membuat lawatan balas ke Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung di sini selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan para pemimpin UMNO menghabiskan tiga hari untuk program Juara Rakyat pada 8-10 Januari lepas. Program Mesra Rakyat bersama Penasihat Ekonomi dan Menteri Besar Kerajaan Negeri Selangor anjuran PKR Cabang Hulu Selangor itu diadakan di Dataran Sentosa, kira-kira 40 meter sahaja dari tapak program Juara Rakyat.
Dalam ucapannya, Anwar mendedahkan pelbagai kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan pusat sekarang. Beliau menyelar Najib yang datang tempoh hari yang antara lain menjanjikan peruntukan RM15.6 juta untuk membaiki bumbung pangsapuri yang rosak di Bukit Sentosa.
"Masalah perumahan ini disebabkan kerajaan buat projek tapi tak jaga. Saya ingat semasa saya menjadi Menteri Kewangan dahulu, saya tekankan sungguh masalah perumahan rakyat ini. Jangan buat lebih kurang. Sebab nak 'fulus' masuk, bumbung teruk. Cuba tanya siapa buat, siapa beri kelulusan, mengapa bumbung teruk macam tu? Bukan bumbung saja, tanah, padang dan kemudahan lain kena selesai. Macam mana nak jaga bumbung kalau enjin kapal terbang pun boleh hilang?" sindirnya.
Beliau seterusnya memberitahu bahawa kerajaan negeri Selangor telah pun meluluskan peruntukan untuk membaik pulih bumbung pangsapuri terbabit sebelum pengumuman Perdana Menteri lagi.
Anwar yang baru pulang dari Beirut berkata beliau berasa sangat malu apabila orang-orang di luar negara bertanya kepadanya mengenai kes kehilangan enjin pesawat F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia.
"Sebuah negara paling teruk apabila sistem pertahanannya rosak. Apabila saya di luar negara, orang bertanya fasal enjin kapal terbang Malaysia yang hilang, malu nak jawab, cuma saya boleh kata 'sebab itulah kita nak tukar kerajaan yang ada sekarang.' Malu, sebab yang hilang enjin kapal terbang, kalau enjin 'Honda Cub' tak apa," katanya mengundang gelak ketawa hadirin.
Beliau hairan kerana kehilangan sebesar itu didakwa cuma melibatkan seorang anggota tentera berpangkat Sarjan, sedangkan yang lain terlepas.
Menurutnya lagi, negara kini mempunyai masalah pengurusan kerajaan yang telah lingkup. Pertumbuhan pelaburan asing sekarang menunjukkan Malaysia kalah dengan negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam, sedangkan tahun 90-an dahulu, Malaysia berada di tempat pertama dalam kalangan negara-negara serantau. Kumpulan perkhidmatan kewangan antarabangsa, UBS Invesment Research yang berpangkalan di Switzerland pula dalam laporan terakhirnya menyatakan ratusan bilion ringgit dibawa keluar dari Malaysia sepanjang setahun yang lalu.
Mengenai isu penggunaan nama Allah oleh golongan bukan Islam, Anwar berkata beliau bukanlah orang alim, tetapi beliau banyak merujuk kepada ulama yang dihormati di seluruh dunia termasuk ulama tersohor masa kini, Dr Yusuf al-Qardawi (gambar) dan Syeikh Wahbah Zuhayli. Dr Yusuf menjelaskan, isu tersebut sebenarnya bukan masalah. Ketua paderi Kristian Palestin-Baitul Maqdis sekarang pun bernama Ataallah Hannah.
Syeikh Wahbah, ulama besar dari Syria yang menulis tafsir al-Quran 'Al-Munir' pula berkata, perjanjian Hudaibiah pada zaman Nabi Muhammad pun dimulakan dengan 'Bismillah...'
"Tidak ada masalah untuk menggunakan kalimah Allah, cuma kita suarakan kebimbangan umat Islam, kita tak mahu nama ini dipermain-mainkan. Itu yang kita beritahu sewaktu perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin Kristian semalam," kata Anwar.
"Kenapa sekarang baru ingat Allah? Kenapa ketika melakukan kejahatan seperti terlibat dengan salah guna kuasa dan rasuah tidak ingat Allah? Saya mendapat maklumat peringkat tertinggi bahawa isu penggunaan nama Allah ini sengaja dicipta untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP. Apabila DAP khususnya yang beragama Kristian menuntut agar dibenarkan menggunakan kalimah Allah, mereka mengharapkan PAS akan menentang dan akan berlakulah perpecahan dalam Pakatan Rakyat (PR). Alhamdulillah, semua pihak dapat menyelesakan isu ini dengan baik, malahan isu ini menguatkan lagi persefahaman antara parti-parti komponen PR.
"BN nampak semakin bercelaru. Macam mana kebenaran menggunakan kalimah Allah ini boleh berbeza-beza mengikut negeri, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh? Di Tawau, Sabah, saya diberitahu bahawa nama Allah telah lama digunakan dalam Bible berbahasa Melayu, tetapi sepanjang 50 tahun, cuma ada seorang Islam yang menganut Kristian, tetapi ribuan orang Dayak telah memeluk Islam. Dalam hal ini, semua orang Melayu baik UMNO, PAS mahupun KeAdilan perlu menerima perkara ini dengan baik, dan jangan timbul perpecahan antara kita," tambahnya lagi.
"Apa yang kita cakap ini biarlah daripada hati. Kita tolak rasuah kerana ia haram. Kalau ada pemimpin Selangor daripada Pakatan Rakyat yang mengambil rasuah, percayalah saya akan perangi dia, selagi dia tidak disingkir, saya tidak akan duduk diam," tegasnya.
"Disebabkan mahu kebenaran ditegakkan, saya dipenjara enam tahun, diterajang, ditelanjang, dipukul setengah mati. Tetapi kalau sewaktu saya keluar dari penjara tahun 2004 dulu saya terus menyokong UMNO, media perdana pasti akan mengatakan 'Anwar pemimpin ulung'. Mungkin hari ini saya bukan lagi 'Datuk Seri Anwar' tetapi 'Tun Anwar Ibrahim'."
Dengan ulangan tuduhan liwat yang dihadapinya sekarang, katanya, beliau terpaksa masuk semula ke mahkamah untuk dibicarakan. "Cuba bayangkan kalau anda kena tuduh macam ini, isteri anda kena, anak anda kena. Apa punya politik macam ini?" soalnya.
Anwar memberitahu bahawa beliau terus mendapat sokongan ulama antarabangsa. Sewaktu Dr Yusuf al-Qardawi berkunjung ke Malaysia sempena sambutan Maal Hijrah baru-baru ini, ulama dunia itu telah memanggil beliau, Azizah (Datin Seri) dan anak-anaknya seraya berkata, "Anwar, saya sekarang Ketua Majlis Ulama Sedunia. Sekali dulu anda difitnah. Jika kali ini anda diaibkan dan difitnah lagi, demi Allah saya akan pertahankan dengan melawan orang jahat ini habis-habisan."
Syeikh Wahbah Zuhayli juga pernah datang ke rumah beliau dan berkata, "Fitnah ini aib dan jahat, dan hanya boleh dilakukan oleh orang yang jahat."
Di penghujung ceramah, Anwar memohon rakyat berdoa untuknya kerana beliau merasakan gelombang fitnah yang besar bakal melandanya sekali lagi sebagaimana yang berlaku pada tahun 1998. Berbagai-bagai tuduhan yang ditujukan kepadanya sekarang, menurut beliau, hanyalah disebabkan beliau dapat menyatukan parti-parti politik dan orang ramai dalam Pakatan Rakyat. Dengan bersungguh-sungguh beliau memberi jaminan, sekiranya PR berjaya memimpin Putrajaya, kerajaan PR tetap akan membantu golongan miskin tanpa mengira bangsa dan agama, bukannya mengayakan golongan tertentu sahaja.
Turut berucap dalam program malam tersebut ialah Ahli Parlimen Machang merangkap Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad. Turut hadir adalah Ketua cabang PKR, Nashruddin Abd Aziz, Ketua Penerangan Pakatan Rakyat, Shaiful Anuar Sulaiman dan AJK PKR Cabang Hulu Selangor. Program malam itu dianjurkan oleh Sekretariat Cabang PKR Hulu Selangor di ketuai oleh Mat Rahat Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan