SERENDAH – Seramai 60 kanak-kanak Orang Asli dari Kampung Orang Asli Serendah selesai mengikuti program Hari Komuniti Orang Asli dan Kem Kembali ke Sekolah.
Program selama tiga hari itu mendedahkan kanak-kanak Orang Asli mengenai semangat dan perjuangan yang perlu dilakukan dalam membawa perubahan terhadap kehidupan masyarakat minoriti itu.
Setiausaha Kehormat, Persatuan Kebajikan, Amal dan Wanita Selangor (Pekawanis), Norani Samsudin berkata, inisiatif dilakukan Darul Fitrah Services Centre itu berjaya memberi pendedahan sewajarnya kepada masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan pendidikan.
Menurutnya, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Daerah Hulu Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), usaha itu juga berhasil dan memperlihatkan kesungguhan kanak-kanak untuk berubah ke arah lebih baik.
“Saya memuji semangat istiqamah yang ditunjukkan peserta sehingga berjaya mengikuti kem ini dengan jayanya.
“Program ini amat bermanfaat terutama bagi mendedahkan kanak-kanak terutama Orang Asli mengenai keperluan pendidikan dengan penerapan modul pelbagai,” katanya ketika berucap merasmikan penutup program tersebut di sini.
Hadir sama, Pegawai JHEOA Daerah, Zainal Abidin Mat dan Tok Batin, Hikang Saria.
Di majlis itu, kerajaan negeri turut menyumbangkan beg dan peralatan sekolah kepada semua peserta.
Norani yang mewakili Isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut berkata, program itu juga mampu membentuk misi hidup peserta dalam membawa mereka merentas keadaan daif kepada yang lebih baik.
Sementara itu, Zainal berkata, JHEOA sentiasa memberi sokongan dan bantuan dalam membantu usaha kerajaan negeri mengadakan program serupa.
Sambil memuji usaha dilaksanakan, beliau percaya dengan adanya program sedemikian ai akan dapat membantu kanak-kanak dan keluarga Orang Asli khususnya untuk lebih berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan