Jumaat, 30 Oktober 2009

JURUTERBANG MAUT TERHEMPAS BERSAMA KAPAL TERBANG EAGLE DI HULU BERNAM


HULU BERNAM - Seorang juruterbang maut apabila pesawat ringan Eagle Twin Seater yang dipandunya terhempas dalam kejadian lewat petang semalam. 

Pemandu pesawat malang itu, Mohd Ehsan Sayed Abu Tahir, 22, dari Taman Nirwana, Ampang, dikatakan melakukan penerbangan solo terakhirnya sebelum diiktiraf sebagai juruterbang sebenar dari Ipoh menuju ke Subang sebelum pesawatnya terhempas lebih kurang 2 kilometer dari Kelab Golf Lembah Beringin dekat sini kira-kira jam 6 petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Affandi, pesawat jenis 9M-CLK milik Kelab Penerbangan Diraja Selangor itu terhempas di satu kawasan hutan kira-kira empat kilometer dari kelab golf berkenaan.
Kata beliau, polis bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) jam 6.20 petang setelah pesawat ringan itu hilang dari radar kira-kira 4.20 petang.
“Gerakan mencari terus dilakukan dan lebih kurang jam 8.20 malam, Unit Udara Polis Diraja Malaysia berjaya menemui bangkai pesawat ringan itu di satu anak sungai,” katanya pada sidang media yang diadakan di lokasi kejadian, malam tadi.
Norel berkata, polis percaya juruterbang cuba melakukan pendaratan cemas berdasarkan keadaan roda pesawat yang rosak akibat tersangkut pada tebing anak sungai itu dan bahagian depannya mengalami kerosakan.
“Ketika pasukan mencari dan menyelamatkan tiba di lokasi kejadian, kami mendapati juruterbangnya tercampak kira-kira 30 meter daripada kokpit.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami cedera di kepala, kaki dan kecederaan dalaman serta maut di tempat kejadian,” katanya.
Kata beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan polis mengawal di sekitar kawasan kejadian hingga pihak DCA menjalankan siasatan hari ini.
“Punca sebenar nahas masih disiasat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Norel berkata, operasi mencari dan menyelamat itu turut membabitkan anggota bomba dan penyelamat dengan bantuan tujuh kenderaan pacuan empat roda dari Kelab 4x4 Bukit Sentosa.
Sementara itu, Ketua Mekanik Kelab Golf Lembah Beringin, Suhaimi Abdul Aziz, 29, berkata, kira-kira jam 5 petang dia bersama beberapa rakan sedang minum petang di sebuah restoran berhampiran tempat dia bekerja sebelum melihat berlegar-legar di ruang udara berhampiran kawasan kejadian.
“Saya melihat pesawat itu terbang berlegar-legar di udara dan kadang kala ia terbang rendah. Kami ingatkan juruterbangnya sedang melakukan latihan penerbangan.
“Tapi lama kelamaan keadaannya semakin serius dan kami rasa dia sedang berusaha melakukan pendaratan kecemasan sebelum pesawat itu terhempas,” katanya.

Tiada ulasan: