Khamis, 1 Oktober 2009

AZMIN ALI : TUN MAHATHIR KECEWA BILA ISA MASIH JADI CALON BN



PORT DICKSON – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad adalah ahli UMNO yang paling sedih dan kecewa apabila Barisan Nasional (BN) tetap mencalonkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali berkata, sebagai pemimpin UMNO yang berpengalaman hampir 20 tahun, Dr Mahathir sudah pasti kecewa apabila mengetahui pemimpin yang disabitkan kesalahan politik wang dicalonkan mewakili BN.
“Walaupun Tun (Dr Mahathir) pernah menyarankan secara terbuka supaya BN tidak mencalonkan seseorang yang mempunyai kesalahan politik wang, namun ia tidak diendahkan oleh pucuk pimpinan BN yang bertindak mencalonkan Isa yang juga Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang.
“Ahli UMNO yang paling kecewa ialah Tun kerana segala nasihat dan pandangan beliau tidak diendahkan pimpinan Pusat kerana Tun beranggapan mencalonkan seorang pemimpin yang pernah disabitkan kesalahan politik wang turut memberi kesan negatif kepada parti,” katanya selepas pada majlis memperkenalkan calon dari Pas di Pusat Perhubungan Pakatan Rakyat (PR) di Batu 9, Jalan Pantai Telok Kemang, dekat sini, malam kelmarin. Menurutnya, pengumuman Mohd Isa sebagai calon yang terbaik menggambarkan UMNO tidak mengotakan janji terhadap perwakilan dan masyarakat untuk memerangi gejala politik wang.
“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini berjanji akan memerangi gejala politik wang sekadar janji apabila UMNO melantik pemimpin yang pernah disabitkan kesalahan terbabit.
“Inikah tindakan yang sepatutnya diambil UMNO dalam usaha membuktikan janji kepada rakyat, adakah UMNO sudah ketandusan pemimpin atau tidak diberikan peluang,” katanya.
Malam kelmarin, calon PR dari Pas iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, 45, diumumkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta beberapa pemimpin Pusat PR tepat jam 10.35 malam
Azmin berkata, masyarakat kini sudah bijak menilai siapa yang harus dipilih untuk menjadi wakil rakyat adakah pemimpin yang disabitkan kesalahan politik wang atau pemimpin muda yang mewakili semua kaum dan masyarakat.
“Calon PR adalah pemimpin yang bermula di peringkat bawah dan mendapat sokongan padu daripada PR negeri dan Pusat jadi laksanakan amanah yang diberikan dalam memastikan hak semua bangsa dan agama terpelihara,” katanya.

Tiada ulasan: