BUKIT SENTOSA – Dalam usaha memperjelas matlamat perjuangan parti, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor, menggerakkan ahlinya melaksanakan Jelajah AMK Hulu Selangor 2009. Jelajah yang julung kali diadakan itu berjaya mencapai matlamat selain memupuk kesefahaman dan silaturahim antara ahli serta komuniti sekitar. Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, Mohd Nashruddin Abd Aziz berkata, program tersebut antara pendekatan parti dalam memperjelas dan memperbetulkan persepsi masyarakat umum mengenai kebenaran perjuangan yang dibawa PKR dan kerajaan pakatan Rakyat (PR) khususnya. Beliau berkata, masyarakat harus mengetahui fokus perjuangan parti yang sememangnya mengutamakan kepentingan rakyat dan jauh dari kepentingan peribadi. “Dari sudut politik, kita cuba memperjelaskan kepada seluruh ahli parti dan masyarakat mengenai kesungguhan dan kebenaran perjuangan kita dalam mengubah kehidupan rakyat ke arah lebih baik. “Melaluinya, kita dapat mematahkan segala tohmahan dan dakyah pembangkang yang sering memutarbelitkan kebenaran perjuangan kita sehingga disalah tafsir dan media perdana yang menjadi saluran utama pembangkang turut dikongkong sehingga terus menyalurkan maklumat palsu kepada rakyat,” katanya. Beliau berkata, menerusi program jelajah itu mesej sebenar yang ingin disampaikan kepada rakyat terus ke lubuk hati dan masyarakat dapat memahami kebenaran serta kesungguhan parti dalam mengubah nasib mereka. Menurutnya, konvoi itu juga antara kepelbagaian usaha parti dalam menyatupadukan ahli bersama komuniti. Seramai kira-kira 100 ahli PKR termasuk Wanita dan AMK terlibat dalam jelajah yang melalui beberapa kawasan di daerah ini. Lebih 50 kenderaan menyertai konvoi tersebut kelihatan gah melalui laluan dan destinasi persinggahan yang ditetapkan. Konvoi yang dilepaskan Nashruddin sendiri bermula dari Bukit Sentosa terus bergerak ke Felda Sungai Tengi, Felda Soeharto dan Hulu Bernam sebelum berakhir di Batang Kali. Nashruddin berkata, pelbagai aktiviti kemasyarakatan turut diadakan seperti gotong-royong membersihkan kawasan surau dan penempatan penduduk dilawati serta aktiviti sukan rakyat yang melibatkan seluruh penduduk. “Idea sebegini juga dapat digunakan dalam membentuk jalinan antara PKR dengan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung). “Sebagai anggota parti kita rasa terpanggil untuk turun ke akar umbi memberi maklumat sekali gus melahirkan hubungan baik dengan komuniti sekitar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan