BUKIT BERUNTUNG – Rentetan isu air yang dibangkitkan penduduk di Bukit Beruntung 3 di sini yang sehingga hari ini tiada usaha serius diambil pihak bertanggungjawab, terus menjadi perbualan penduduk. Terbaru, penduduk membangkitkan mengenai kebimbangan mereka sekiranya berlaku kejadian seperti kebakaran dan kesukaran mengadakan sebarang aktiviti komuniti kerana bimbang air tidak ada.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Widuri, Ahmad Nasir Mohd Salleh, 42, berkata, kebimbangan itu wujud ekoran dakwaan penduduk pili bomba yang terdapat di kawasan perumahan mereka juga tidak berfungsi. “Kalau ada air pun, bila berlaku kebakaran pasti lambat padam atau dah musnah semuanya baru api padam. “Apa tidaknya dengan ketiadaan air macam man nak padam api. Kalau ada pun, tekanan air rendah dan sudah pasti mengalami kesulitan memadam api,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini. Pelbagai masalah dilontarkan penduduk berhubung masalah air yang sudah lebih lapan tahun tidak selesai. Suasana hangat juga tiba-tiba berlaku apabila ada pihak yang menyatakan bahawa penduduk kawasan terbabit sebenarnya tidak mengalami sebarang masalah air. Manakala isu yang pernah dilontarkan media berhubung tindakan penduduk yang terpaksa mengambil air dari lombong berhampiran dikatakan bukan untuk tujuan itu. Sebaliknya, pihak tersebut menyatakan penduduk datang dan berkumpul beramai-ramai di tepi lombong terbabit hanya bertujuan mengambil angin dan berkelah dan bukannya untuk mengambil air seperti dilaporkan media. Pihak berkenaan juga dengan sinis mengeluarkan kenyataan mahu bertindak menyaman media sekiranya melaporkan berita palsu. Penduduk dengan lantang bersuara, sekiranya kenyataan pihak terbabit benar, mereka mencabar supaya pihak terbabit tampil bersemuka dengan mereka.
Haidzir Omar, 49, berkata, bagaimana seorang pemimpin di peringkat bahagian boleh mengeluarkan kenyataan tersebut, walhal merekalah yang sepatutnya tampil membela. “Jangan sampai kami solat hajat,” katanya yang berang mendengarkan kata-kata itu. Beliau berkata, solat hajat itu bertujuan menjatuhkan kredibiliti dan imej pemimpin terbabit selain bertujuan menyelesaikan masalah mereka. Menurutnya, penduduk di kawasan berkenaan hidup ibarat pendatang asing yang tidak terbela. Malah katanya, pendatang asing juga tidak senasib seperti mereka dan boleh dikatakan agak mewah jika dibandingkan penduduk Taman Widuri yang sehingga kini tidak menikmati air bersih. Penduduk juga musykil dengan kenyataan Ahli Parlimen yang mengatakan masih tidak menerima laporan daripada penduduk berhubung masalah itu. Menurut mereka, bagaimana seorang pemimpin di peringkat atasan boleh mengeluarkan kenyataan itu sedangkan isu itu sudah berlarutan hampir sepuluh tahun. Malah, sudah pelbagai usaha dilakukan penduduk sejak Kerajaan Negeri dipimpin Barisan Nasional lagi, sehinggalah kini ditakluki kerajaan pembangkang.
Justeru, penduduk berharap ada pihak akan tampil menyelesaikan isu itu sebelum tibanya Syawal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan