Isnin, 3 Ogos 2009

HARI PELANGGAN DI DEWAN KOMUNITI BKT SENTOSA - 1 OGOS 2009

BUKIT SENTOSA – Hari Bertemu Pelanggan yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar dimanfaatkan sepenuhnya orang ramai terutama untuk tujuan mengemukakan aduan mahupun cadangan. Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bunga Raya, Ismail Md Noor berkata, usaha PBT dalam membuka ruang kepada orang ramai tidak sepatutnya disia-siakan kerana platform itulah sesuai dalam mendapatkan maklum balas segera dan penjelasan daripada pihak bertanggungjawab. “Tapi malangnya, ruang dan peluang yang diberikan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) seperti hari ini tidak digunakan sebaiknya dan kebanyakan orang sekarang lebih suka mendedahkan sebarang masalah terus kepada media tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa. “Tindakan seperti itu silap dan masyarakat luar akan mengandaikan PBT tidak melaksanakan tanggungjawab sedangkan pelbagai cara sudah dilakukan dalam mengatasi segala aduan atau permasalahan yang timbul,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di program Hari Bertemu Pelanggan MDHS di sini. Beliau terkilan dengan sikap sesetengah individu yang tidak memanfaatkan ruang yang disediakan PBT seperti hari bertemu pelanggan. Tanpa menyalahkan mana-mana pihak, Ismail berharap akan wujud lebih kesedaran dalam diri masyarakat terhadap perkara itu. Ismail menyifatkan Hari Bertemu Pelanggan MDHS menerima sambutan hambar daripada penduduk khususnya dari kawasan Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dan Taman Bunga Raya. “Dalam hal ini, komitmen penduduk perlu dalam mencari titik persefahaman bersama PBT terutama untuk menyelesaikan masalah dihadapi. “Umum tahu tiada masalah yang tak dapat diselesaikan dan setiap perkara itu pasti ada titik pengakhiran yang akhirnya memuaskan semua pihak,” katanya. Hari Bertemu Pelanggan MDHS dilaksanakan secara berkala dan mengikut keperluan, bagaimanapun atas permintaan tinggi, cawangan MDHS di Bukit Sentosa sentiasa mengadakan hari itu pada setiap minggu untuk keperluan penduduk. Yang Dipertua MDHS, Tukiman Nail berkata, hari bertemu pelanggan yang diadakan kali ini lebih fokus kepada permasalahan teknikal yang dihadapi penduduk. “Beberapa kaunter tambahan turut dibuka seperti kaunter Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor), JKR (Jabatan Kerja Raya) dan TNB (Tenaga Nasional Berhad), malah kami turut membawa masuk agen-agen pengurusan sebagai rujukan penduduk. “Ini dapat memudahkan orang ramai untuk berhubung terus dengan pihak berkenaan bagi menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya. Beliau berkata, mulai 1 hingga 31 Ogos ini, MDHS juga membuka kaunter tambahan untuk pembayaran cukai taksiran. Kaunter tersebut dibuka setiap hari mengikut waktu pejabat termasuk untuk Sabtu dan Ahad yang dibuka setengah hari. Beliau berharap, selepas ini tiada lagi alasan tidak dapat menjelaskan bayaran cukai dan tiada denda lewat dikenakan kerana MDHS sudah membuka ruang seluasnya untuk pelanggan.

Tiada ulasan: