KUALA KUBU BHARU – Kerajaan memandang serius soal pembangunan belia di negara ini dengan memberi penekanan berlandaskan elemen keagamaan tanpa mengabaikan elemen penting lain dalam hidup. Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, belia perlu diberi pendedahan mengenai ilmu keagamaan kerana melihat belia sekarang banyak yang terdedah dengan ancaman luar akibat terikut budaya kurang sihat. Menurutnya, pengaruh ini kian membimbangkan sehinggakan mereka sudah terbiasa dengan perkara atau perbuatan yang melebihi batas agama sekali gus menyebabkan kementerian mahu mengambil pelbagai pembaha ruan mengatasinya. “Oleh itu, kita akan cuba membawa pelbagai pembaharuan dari segi pendekatan ke arah melahirkan belia bukan sahaja berilmu bahkan memiliki pengetahuan dan dasar keagamaan yang kukuh sejajar hasrat untuk membangunkan belia berlandaskan agama. “Hasrat membangunkan belia yang berlandaskan dasar keagamaan sudah dibuktikan kerajaan sejak dahulu lagi dengan mewujudkan beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Sekretariat Rakan Muda dan Perasmian Ekspo Konvokesyen Darul Quran Jakim di kampus Darul Quran di sini semalam. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha. Pada majlis tersebut, Razali turut mengumumkan sumbangan kemente rian sebanyak RM30,000 untuk Ekspo Konvokesyen tersebut manakala RM10,000 lagi diberikan kepada Sekretariat Rakan Muda Darul Quran. Razali berkata, dengan terbinanya institusi berkenaan pasti ramai belia berilmu dilahirkan seperti tahfiz dan golongan ilmuwan Islam kerana golongan ini diperlukan dalam melahirkan generasi pelapis dan pemimpin negara suatu hari nanti. Katanya, belia seperti ini diperlukan dalam memperbetulkan semula persepsi dan tanggapan masyarakat mengenai keadaan negara kita dan negara Islam keseluruhannya yang dilabelkan sebagai pengganas memandangkan terlalu banyak lontaran negatif diberikan. “Kita dan belia perlu mempertahankan dan memperbetulkan tangga pan itu dan menyatakan bahawa Islam tidak seperti digambarkan,” katanya. Beliau juga mengajak belia untuk bersama memperbaiki keadaan apabila wujudnya persengketaan dalam kalangan bangsa Melayu dan Islam di negara ini dan belia perlu menjadi ejen perubahan ke arah yang betul bagi membantu membina negara ke arah kesempurnaan. “Orang muda perlu ada pendirian dan tidak boleh dijadikan alat telunjuk segelintir pihak yang berkepentingan atau memiliki agenda tersembunyi sehingga sanggup merosakkan negara dan masa depan bangsa. “Marilah kita bersama mewujudkan belia yang berwawasan dan bermatlamat selaras dengan slogan Satu Belia, Satu Malaysia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan