BUKIT SENTOSA - Golongan wanita disaran memanfaatkan sepenuhnya fungsi Pusat Sehenti Wanita (OSCC) yang diwujudkan Kerajaan Negeri di beberapa hospital kerajaan. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, saranan itu dibuat bagi membantu wanita dalam menangani kesan keganasan yang masih berlaku terhadap golongan itu. “Usaha kerajaan menghidupkan kembali fungsi OSCC sudah tentu bagi membantu wanita dalam menangani kesan keganasan yang berlaku terhadap mereka. “Kita menyedari ramai di antara wanita yang masih belum sedar akan kewujudan pusat sehenti ini. “Untuk itu, kerajaan negeri melalui jawatankuasa ini akan berusaha menyebarluaskan maklumat mengenainya agar keberkesanan OSCC dapat dimanfaatkan bersama,” katanya ketika pada di program Fiesta Feminin 2009 di Masjid As-Salam di sini. Pada majlis itu, Rodziah turut menyampaikan bantuan barangan keperluan kepada 43 penerima terdiri golongan kurang berkemampuan termasuk ibu tunggal, Orang Asli dan saudara Islam (mualaf). Hadir sama, Ketua Nisa’ Hulu Selangor, Nuradila Rahmad dan Pengerusi Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Mohd Nashruddin Abd Aziz. Rodziah berkata, menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam menangani permasalahan yang berlaku terhadap wanita kerana memandang ia adalah permasalahan bersama. Menurutnya, keganasan yang masih mencatatkan rekod setiap tahun amat merisaukan dan perlunya pendekatan sesuai diambil untuk menanganinya. Beliau berkata, menerusi program yang diadakan seperti fiesta berkenaan ia sedikit sebanyak membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat megenai OSCC. “OSCC pada dasarnya berfungsi sebagai pusat aduan kepada wanita yang terlibat dalam sebarang kes keganasan termasuk rogol, penderaan dan sebagainya. “Namun, dengan meletakkan beberapa unit atau kaunter khas di dalamnya, wanita yang teraniaya bukan sahaja dapat dibantu dari segi mendapatkan rawatan malah dengan adanya khidmat kaunseling semangat mereka dapat dipulihkan,” katanya. Beliau berkata, wanita tidak sepatutnya takut untuk hadir ke OSCC dan tidak menunggu lama untuk tampil membuat aduan kerana spesimen yang terdapat pada badan sekiranya berlaku sebarang kejadian seperti rogol akan dapat dikesan dalam tempoh 72 jam. Menurutnya, kegagalan wanita untuk tampil mengemukakan laporan kes akan menyukarkan pihak berkuasa dalam membantu menyelesaikan sebarang kes berlaku. “Sebab itu, kita mahu wanita lebih berani dan berkeyakinan dalam segala hal termasuk berani berdepan dengan masalah. “Justeru, tampillah membuat laporan tanpa rasa malu dan terus membantu pihak kerajaan dalam menangani isu-isu keganasan terhadap wanita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan