Selasa, 14 Julai 2009

SPRM siasat 7 ADUN

SHAH ALAM – Fail pe-runtukan Ahli Dewan Negeri (ADUN) di Daerah Petaling iaitu kawasan Kinrara, Seri Kembangan, Damansara Utama, Bukit Lanjan, Subang Jaya, Bukit Gasing, Kampung Tunku yang berada dalam simpanan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diambil pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua minggu lalu. ADUN Kinrara, Teresa Kok menyifatkan tindakan yang dilakukan pegawai SPRM itu dianggap bermotifkan politik dan tidak adil kerana mereka ADUN Pakatan Rakyat (PR). Menurutnya, sebagai ADUN dan wakil rakyat di kawasan tersebut, beliau menggunakan hak yang diberikan untuk membantu sesiapa yang memerlukan bantuan seperti persatuan, sekolah, surau dan sebagainya. “Kami berasa aneh kenapa fail ADUN kami diambil oleh pegawai SPRM dan juga saya rasa aneh yang mana dalam kes saya yang mana saya pernah memberikan sumbangan RM10,000 kepada sebuah surau di Puchong untuk membeli pembesar suara malah imam dan jawatankuasa itu telahpun disoal siasat oleh pegawai SPRM selama beberapa jam pada dua hari lalu. “Dan mereka akan datang menyoal siasat ahli jawatankuasa surau malam ini (semalam). Jadi saya hendak tanya, apakah kesalahan yang kami telah buat? Kami hanya menjalankan tugas sahaja dan kenapakah kami diganggu oleh pihak SPRM. Kenapa hanya kami tujuh orang sahaja,” katanya. Katanya, disebabkan siasatan selama beberapa jam ke atas penerima peruntukan kerajaan tersebut, mereka sangat bimbang dan takut kerana menerima peruntukan daripada ADUN PR. Beliau turut mempersoalkan peruntukan diberikan kepada surau itu satu korupsi dan mengapa ahli jawatankuasa surau perlu disiasat. Sementara itu, ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang kesal dengan tindakan SPRM akan membuat satu aduan kepada Ketua Lembaga Penasihat SPRM, Tun Hamid Mohamad kerana itu satu isu salah guna kuasa dan juga serangan secara peribadi. “Apabila PR menjadi kerajaan negeri pada 8 Mac, kita pula telah mencari data di mana kebanyakan ADUN Barisan Nasional (BN) yang dahulunya sudah kalah itu menghabiskan peruntukan DUN sebanyak RM500,000 dalam masa dua bulan. “Tetapi sampai sekarang siasatan oleh SPRM masih belum dijalankan terhadap mereka. Jadi mengapa kita, tujuh ADUN dari Daerah Petaling menjadi sasaran pada masa ini,” katanya. Jumaat lalu, pejabat ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh menerima panggilan telefon pegawai SPRM, mereka bertanya mengenai wang peruntukan berjumlah RM10,000 yang diberi kepada pembantu untuk menjalankan klinik kesihatan untuk rakyat miskin di kawasan tersebut. Bagaimanapun, Hannah telah menyatakan bagaimana beliau menggunakan jumlah peruntukan yang digunakan dalam laman sesawangnya. “Setiap tahun kita ada dua atau tiga klinik kesihatan kerana Subang Jaya tidak mempunyai klinik kesihatan. Duit peruntukan ini digunakan untuk menganjurkan hari kesihatan penduduk miskin. “Saya tidak faham menga-pa peruntukan yang diberikan kepada rakyat dipersoalkan oleh SPRM. Jadi saya nampak ini lebih kepada gangguan kepada orang memperuntukan wang kepada rakyat disoal siasat tetapi yang menyeleweng, langsung tiada siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: