SHAH ALAM, 3 Jun - Kerajaan Selangor hari ini memutuskan untuk menghentikan serta merta kutipan bayaran RM50 terhadap seluruh peniaga pasar malam di negeri ini.
Demikian kata Dato’ Menteri Besar Selangor kepada pemberita selepas merasmikan Program Meningkatkan Pendidikan Sekolah-Sekolah Tamil, di sini, petang tadi.
Menurutnya, langkah menghentikan bayaran tersebut dibuat berikutan aduan yang diterima pihaknya berikutan para peniaga di kawasan Ampang Jaya menanggung beban pembayaran tersebut.
“Exco kerajaan negeri telah berbincang dan memutuskan tiada lagi kutipan wang RM50 terhadap mereka malam selepas ini,” katanya yang berjanji memulangkan semula bayaran yang dibuat oleh peniaga sebelum ini.
Dalam masa yang sama, Abdul Khalid berkata kutipan sebanyak RM4 sebagai yuran pengurusan sampah di kawasan pasar malam diteruskan seperti biasa.
“Walau bagaimanapun urusan kutipan hanya dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam kawasan masing-masing sahaja”, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan